Tubuh Jawatankuasa siasat kes Adib tindakan tepat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah satu tindakan yang tepat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor, berkata tindakan itu juga sangat efektif dan mampu meredakan tekanan yang dihadapi orang Islam di Malaysia yang prihatin dengan nasib Muhammad Adib.

- Advertisement -

“Terutamanya, kebelakangan ini kita lihat badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu begitu lantang sekali menyuarakan isu ini kepada kerajaan. 

“Mereka menggesa kerajaan mengambil tindakan segera disebabkan kita merasakan ketika zaman Pakatan Harapan (PH), kes ini seolah-olah cuba disimpan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Menurut Dr Riduan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Keluarga Malaysia perlu mengambil perhatian serius jika mengambil alih kes membabitkan sesuatu bangsa.

Katanya, PAS sangat menyokong pembentukan jawatankuasa khas ini dan yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prasarana, kekuatan dan kepakaran untuk menyiasat kembali kes ini.

Dr Riduan Mohamad Nor.

“Ini disebabkan gambar perusuh ketika kejadian itu sebenarnya memang telah disebarkan. Siasatan perlu dibuat secara mendalam, paling kurang pun mengapa kita tidak kompaun orang yang merusuh pada malam tersebut?

“Saya lihat kita mempunyai gambar mereka yang lengkap dalam dokumentasi dari pihak polis dan sebagainya,” tegasnya.

Justeru kata Dr Riduan, kerajaan harus mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan kes ini memandangkan ia telah menjadi duri dalam daging kepada kerajaan sendiri.

Menurutnya lagi, pihak pembangkang juga mengambil peluang ini untuk mempersendakan kerajaan, termasuk Presiden PAN, Mohamad Sabu yang turut mendesak kerajaan dan kementerian bertanggungjawab memberi perhatian kes Muhammad Adib.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa jemaah menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi tujuan itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Menurut Ismail Sabri, penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib mendapat keadilan dan sekali gus pelaku akan dihadapkan ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -