Roslin serah Yusma teraju Ketua Muslimat Bentong

- Advertisement -

BENTONG: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong Kali Ke-36 menyaksikan sayap kiri PAS ini diterajui Yusma Yusuf selaku Ketua Muslimat Sesi 2021-2023 menggantikan Roslin Mohd Jidin.

Roslin, 60, yang telah menggalas amanah selaku ketua selama 17 tahun dalam ucapannya terus mengingatkan anggota Muslimat bahawa berjemaah adalah ibadah dan bukannya beban untuk dirasakan berat dan penat.

“Anggaplah berjemaah ini ibadah, walaupun berat kita usahakan buat demi meraih `mardhatillah‘. Buangkan jauh-jauh rasa rendah diri dan hati. Jangan simpan lama-lama perasaan kecil hati.

- Advertisement -

“Kerana kita duduk dalam jemaah ini bukan untuk berbalah tetapi mahu menjalin dan merapatkan ukhuwwah,” ujar pada majlis di Dewan Maahad Tahfiz Dar Al Abrar, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Yusma berharap kepimpinan Muslimat PAS Bentong sesi baharu dapat bersatu hati membantu melaksanakan kerja-kerja jemaah ini dengan saling membahu serta membantunya memperkasakan visi dan misi parti.

“Saya tak boleh kerja sorang-sorang. Saya ingin merakam ucapan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu yang telah banyak berjasa membantu perjuangan muslimat PAS di Bentong. 

“Semoga kita terus istiqamah dalam gerak kerja jemaah walau di mana jua kita diposisikan. InsyaAllah semua ada ganjaran pahala di sisi-Nya,” jelasnya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang.

Sementara itu, wakil Muslimat DUN Bilut, Ustazah Khadijah Harun, di dalam ucapan penangguhannya menarik perhatian perwakilan dengan pesan dan ingatan dari pesanan pernah diucapkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Islam ini besar dan luas. Masing-masing ada penjurunya, pastikan Islam itu menang di penjuru masing-masing. Bahtera kita besar dan pelbagai penumpang di dalamnya, uruskan perbezaan dengan hikmah kerana ini proses pembersihan untuk kita sentiasa berada di jalan takwa,” ujarnya.

Khadijah, 67, merupakan mantan Ketua Muslimat PAS Pahang pertama yang kini menabur bakti selaku Ketua Muslimat PAS Cawangan sesi baharu di kampung halamannya, Lurah Bilut.

Bertemakan `Islam Memimpin Wanita Sejahtera‘, para perwakilan juga menyandar kepercayaan kepada Nor Hafizah Jaafar selaku Timbalan Ketua Muslimat dan Liza Yusof sebagai Naib Ketua. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -