Rakyat kurang senang jika PRN sekarang

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

DALAM situasi politik tidak menentu yang sedang melanda negeri kelahiran penulis, Melaka, yang kini sudah ‘tidak berkerajaan’ lagi, penulis sempat bertukar-tukar pandangan dan melihat apa kata rakyat tentang situasi ini.

Memang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan mereka. Sudah tentu kebimbangan dan ketakutan mereka ialah pada kemungkinan berlaku lagi gelombang Covid-19 akibat pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlaku dalam masa terdekat ini.

Sabah menjadi kes studi yang menjadi bukti tentang bahaya ini. Selepas PRN Sabah selesai yang menyaksikan bermulanya gelombang Covid-19 yang kesannya berekor hingga ke hari ini, penulis ada menulis sebuah rencana berkenaan hal ini pada masa itu.

Dalam rencana tersebut penulis membincangkan tentang reaksi rakyat yang pada masa itu yang melahirkan kemarahan terhadap ahli politik akibat perkara ini.

Yang menariknya pada masa itu kemarahan mereka tidak menjurus kepada mana-mana parti politik samada parti pemerintah atau parti pembangkang. Kemarahan rakyat pada masa itu secara pukul rata adalah kepada semua ahli politik tidak kira parti.

Pada mereka, siapa yang menjadi penyebab atau pemula tidak penting. Seperti kata pepatah ‘tepuk sebelah tangan takkan berbunyi’. Jadi pada waktu itu tidak ada ahli atau parti politi yang boleh menyalahkan ahli atau parti politik lain terhadap apa yang berlaku.

Rakyat teramat marah dan menjadi muak dengan politik. Dan yang membimbangkan ialah jika ini berlaku, berbagai-bagai kemungkinan reaksi daripada rakyat akibat perkara ini akan dapat dilihat.

Sekarang pun sudah ada yang mula bercakap untuk memboikot PRN kali ini dan tidak mahu keluar mengundi kerana bimbangkan penularan Covid-19 ini.

Semasa sedang berlangsungnya kempen pada PRN Sabah dahulu penularan ini belum lagi nampak. Gelombangnya berlaku beberapa ketika selepas selesainya PRN. Pada masa PRN itu rakyat masih lagi keluar mengundi.

Berbeza dengan PRN Melaka. Pada kali ini rakyat sudah ada kes studi yang menjadi panduan mereka iaitu PRN Sabah. Rakyat umpama sudah boleh menjangkakan apa yang akan berlaku nanti.

Sungguhpun ada vaksin dan telah mencapai imuniti kelompok, namun Covid-19 masih ada. Mungkin ia tidak akan jadi seteruk dahulu. Namun separuh teruk dari dahulu pun masih juga teruk dan menyusahkan.

Banyak kebarangkalian yang boleh berlaku jika rakyat tidak mahu keluar mengundi kerana protes. Ia akan menyebabkan keputusan yang terhasil daripada PRN ini tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat.

Bagi sesetengah negara peratus keluar mengundi yang sangat rendah boleh menjadikan sesuatu pilihan raya itu terbatal. Ia mungkin tidak begitu di Malaysia.

Itu jika rakyat boikot pilihan raya dan menolak secara borong semua parti politik. Kita belum bercakap lagi jika rakyat melihat mana-mana parti politik yang dianggap menjadi punca berlakunya PRN ini akan dihukum kali ini.

Adakah rakyat akan marahkan pada punca berlaku pembubaran DUN iaitu empat orang bekas ADUN yang mana dua daripadanya adalah daripada Umno sendiri?

Atau adakah rakyat akan marah pada PH yang secara jelas tuan kepada sebelah lagi tangan yang bertepuk dengan tangan empat ADUN tadi yang menyebabkan tepukan itu bunyinya menggegarkan Melaka?

Atau adakah rakyat akan marah kepada BN yang memerintah Melaka yang dikatakan tergesa-gesa membubarkan DUN menyebabkan PRN terpaksa dilakukan dalam tempoh 60 hari?

Pada masa ini Umno sedang berusaha untuk mengelakkan berlakunya PRN dengan memohon pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun ia juga menjadi perbincangan samada ia dibolehkan oleh Perlembagaan Negara atau tidak.

Ada yang mengatakan bahawa kes Sarawak berbeza dengan Melaka kerana pengisytiharan darurat yang dibuat untuk Sarawak adalah semasa DUNnya belum dibubarkan.

Mungkin BN sepatutnya boleh mengelakkan perkara ini dengan membiarkan proses demokrasi melalui DUN Melaka berlaku tanpa perlu bubar DUN. Sama seperti yang berlaku di Perak dan di Persekutuan.

Namun semuanya sudah pun berlaku dan tidak boleh di’undo’ seperti kita menggunakan aplikasi komputer.

Jadi semua parti-parti politik terutama yang terlibat dalam membuat keputusan-keputusan yang menatijahkan kekalutan ini harus bersedia berhadapan tindak balas rakyat. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -