Peruntukan khas untuk Institusi Pendidikan Islam diteruskan tahun depan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk terus menyediakan peruntukan khas kepada Institusi Pendidikan Islam dalam Bajet 2022 seperti yang diperuntukkan pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tahun ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menaik taraf serta menyelenggara infrastruktur Institusi Pendidikan Islam.

- Advertisement -

Beliau berkata, peruntukan itu memberi manfaat kepada 3,450 buah sekolah di bawah Lembaga Penasihat Penyelarasan dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

Katanya, sebanyak RM60 juta daripada jumlah itu disalurkan kepada Sekolah Agama Negeri yang memerlukan tujuan penyelenggaraan.

“Baki peruntukan disalurkan kepada Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Persendirian, institusi tahfiz dan institusi pondok berdaftar,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, Institusi pendidikan Islam mendapat perhatian ketika persidangan Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, membangkitkan tentang keperluan peruntukan tambahan untuk sekolah tahfiz.

Beliau berkata, hal ehwal agama terletak di bawah bidang kuasa negeri dan selain peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta, Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan turut menyediakan peruntukan kepada Institusi Pendidikan Islam di negeri masing-masing.

Katanya, kerajaan sedar bahawa selain peruntukan penyelenggaraan infrastruktur, sekolah juga memerlukan bantuan dari aspek pengurusan seperti gaji untuk guru dan kos lain, terutama ketika tempoh penutupan sekolah apabila tiada yuran dapat dikutip.

“Sehubungan itu, saya telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, mengenai isu ini dan Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/21

- Advertisement -