Pelancong domestik pilih lokasi pelancongan baharu

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Pelancong domestik kini didapati memilih lokasi pelancongan baharu dalam tempoh pandemik berbanding lokasi-lokasi popular yang sedia ada bagi mengelakkan kesesakan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, kajian pihaknya mendapati, rakyat Malaysia memilih lokasi baharu bagi mengelak berlaku kesesakan terutamanya melibatkan cuti hujung minggu dan cuti umum.

- Advertisement -

Katanya, keadaan sekarang disifatkan masih belum selesa untuk dikunjungi tempat tumpuan awam walaupun kerajaan membenarkan rentas negeri.

“Sebelum ini kita tengok pelancong akan membanjiri lokasi-lokasi pelancongan yang popular, namun kini mereka memilih lokasi baharu bagi mengelakkan kesesakan.

“Langkah tersebut amat baik bagi memastikan tiada kesesakan berlaku tambahan pula lokasi-lokasi baharu yang diteroka mempunyai nilai tersendiri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau meninjau persediaan Hotel The Grand Renai untuk menyambut kepulangan perantau selepas diumumkan kebenaran rentas negeri pada Isnin lalu.

Sehubungan itu kata beliau, pihak berkuasa di peringkat negeri atau daerah perlu memperkenalkan destinasi baru pelancongan.

Hafiz juga berkata, pihaknya melakukan tinjauan berkala melibatkan lokasi-lokasi pelancongan termasuk di Pahang dan Terengganu bagi melihat persediaan dan keperluan pemain industri pelancongan.

“Ia amat penting dalam usaha untuk membuka kembali perniagaan mereka setelah lama berehat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Tinjauan diadakan sejak pertengahan September lalu. Kami juga mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri berkaitan untuk melihat hala tuju selepas sektor pelancongan dibuka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -