PAS Sabah berkorban PRN lalu demi perpaduan

- Advertisement -

Oleh AMIRUDDIN MOHD ROSDI

KOTA KINABALU: PAS Sabah memilih untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, tahun lalu demi melihat kesatuan dan perpaduan antara parti-parti politik.

Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan, berkata mereka sentiasa mementingkan aspek itu demi kesejahteraan jangka masa panjang dan bagi mengelakkan perpecahan yang akhirnya memenangkan pihak lawan.

- Advertisement -

“Kadangkala orang politik perlu berkorban demi kesatuan dan perpaduan jangka masa panjang.

“Bayangkan jika PAS Sabah pula masuk bertanding dalam pilihan raya yang lepas, pasti pihak lawan kita akan bertepuk tangan kerana dalam kalangan kita sendiri pun nampak perpecahan,” katanya.

Menurut Dr Aliakbar, disebabkan itu pada PRN Sabah lalu, PAS Sabah mencipta sejarah dengan tidak bertanding dan memilih untuk tetap membantu rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang kempen pilihan raya tersebut.

Katanya, daripada pengorbanan PAS Sabah ketika itu, ia telah membawa kesan besar dalam keharmonian dan kerjasama jitu terhadap GRS.

Selain itu katanya, ia turut memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih GRS sebagai peneraju kerajaan Negeri Sabah.

Beliau berkata demikian menjawab soalan penonton dalam program ‘Sembang Santai Satu Tahun Sebagai YB’ yang berlansung secara atas talian di sini, semalam.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlaku pada 2020 menyaksikan GRS berjaya membentuk kerajaan dengan memperoleh majoriti 38 kerusi mengalahkan Warisan Plus yang hanya memenangi 32 kerusi.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasonal (BN), dan Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala Warisan Plus terdiri daripada PKR, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Bebas.

Walaupun PAS tidak bertanding, namun Dr Aliakbar dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sekali gus menjadikan beliau adalah pemimpin pertama PAS Sabah yang menjadi Adun di negeri itu. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -