Larangan Nabi tersirat manfaat

APA sahaja yang diperkatakan oleh Nabi S.A.W adalah benar dan mengandungi manfaat yang tersurat dan tersirat. Baginda tidak akan berkata menurut nafsunya tetapi kata-katanya berdasarkan panduan Ilahi, sebagaimana dinyatakan oleh Allah S.W.T:

Advertisement

 وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣  إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤ 

“Dan dia Muhammad S.A.W tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu, tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

(an-Najm: 3-4)

COVID-19 boleh berjangkit melalui udara (airbone) dan sentuhan (contact). Justeru, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal adalah penting bagi mengelak dari dijangkiti, sekali gus dapat memutuskan rantaiannya.

Lebih 1,400 tahun yang lalu, Nabi telah mengajar para Sahabat bagaimana cara menjaga diri dari penyakit berjangkit dengan kaedah menjaga pernafasan:

Pertama: 

نَهَى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ، أَو يُنْفَخَ فِيهِ

“Rasulullah S.A.W melarang untuk bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas.”

(Riwayat Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan makruh bernafas di dalam bekas minuman ketika minum atau meniup isinya. Antara hikmah larangan tersebut adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qurthubi:

النَّهْيِ عَنِ التَّنَفُّسِ فِي الْإِنَاءِ لِئَلَّا يُتَقَذَّرَ بِهِ مِنْ بُزَاقٍ أَوْ رَائِحَةٍ كَرِيهَةٍ تَتَعَلَّقُ بِالْمَاءِ

“Larangan bernafas di dalam bekas minuman, supaya bekas air atau air tersebut tidak tercemar dengan air ludah ataupun bau yang tidak sedap berkaitan dengan air.”

Kedua:

أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ؛ كَانَ إِذَا عَطَسَ ، غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ ، أَوْ بِثَوبِهِ ، وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ

“Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila bersin, Baginda menutup wajah dengan tangannya atau kainnya sambil merendahkan suaranya.”

(Riwayat Tirmizi)

Hadis ini mengajar adab ketika bersin dan bertujuan mengelak jangkitan kuman kepada orang lain. Begitu juga, saranan merendahkan suara ketika bersin supaya tidak mengganggu sahabat yang berdekatan dengannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL-HAFIZ
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 13/10/2021