KOTADAR dan 12,000 amilin Perak

- Advertisement -

TUNJANG kekuatan PAS adalah tarbiah. ‘Tanpa tarbiah pasti rebah’ adalah ungkapan yang sentiasa bermain di bibir Abnaul Harakah. Tunjang ini membezakan antara PAS dan parti politik lain. Ia tidak dapat dirasai melainkan mereka berada dan mematuhi disiplin tarbiah PAS.

Banyak perkara yang tidak difahami mereka yang di luar parti lebai ini. Gelaran walaun yang menjadi hinaan dan cercaan musuh dan pembenci PAS menjadi kebanggaan pencinta dan ahli PAS.

- Advertisement -

Tarbiah adalah agenda yang diketengahkan terutama di awal gelombang kepimpinan ulamak. Tajdid Hadhari dan menyanggah fikrah Maddiyah pula antara tema membina generasi kepimpinan negara masa depan yang tahu halatuju dan memiliki benteng menghadapi rasuah. Ia antara cabaran apabila menjadi kerajaan.

PAS Perak di bawah kepimpinan Razman Zakaria meletakkan agenda ini sebagai pasak utama setiap lapisan kepimpinan PAS Perak. Ia menjadi tema utama ucapan dalam banyak pertemuan. Begitu juga usaha mewujudkan kompleks PAS Perak adalah bermatlamatkan pusat tarbiah.

Agenda tarbiah diperkasakan dengan sokongan ustaz Mustafa Shaari sebagai arkitek tarbiah PAS Perak. Bagi menyahut impian Tuan Guru Presiden, PAS Perak telah memberi fokus pembinaan 12,000 amilin. Agenda yang diterjemahkan dari Hadis Rasulullah S.A.W mengenai keampuhan 12,000 tentera yang tidak akan dikalahkan.

Seusai mesyuarat akhir sesi Perhubungan PAS Perak, agenda amilin 12,000 dilancarkan bagi memperkukuhkan pelaksanaan program yang telah dilaksanakan itu. Ia bermatlamat agar seluruh ahli PAS Perak memberi tumpuan serius terhadap program yang dipimpin lajnah tarbiah tersebut. Ia juga memberi isyarat kepimpinan PAS mesti dipilih dari kalangan mereka yang miliki kualiti tarbiah.

Semoga impian pembinaan KOTADAR sebagai tempat perkaderan amilin PAS akan tercapai di Perak. Ia agenda besar mengislah ummah khasnya di Perak. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 13/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7005337929480205/

- Advertisement -