Kita guna RM68,400 sehari untuk bernafas

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Hutan paya bakau merupakan ekosistem unik yang menjadi habitat penting kepada pelbagai flora dan fauna termasuk hidupan marin, selain juga berperanan penting sebagai benteng untuk memecah dan menahan pukulan ombak kuat dari laut. 

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria berkata, hutan ini juga berupaya mengawal dan melindungi kualiti air di kawasan yang terlibat dengan pasang surut.

- Advertisement -

Menyedari hakikat ini satu program pemuliharaan paya bakau sebagai habitat pembiakan ikan dengan kerjasama antara Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan Perak telah diadakan di Teluk Rubiah, Kuala Gula, di sini kelmarin.

Menurut Razman, bukan sahaja sebagai pemuliharaan dan peningkatan biodiversiti ekosistem, malah ianya turut menyahut seruan Sultan Perak agar negeri ini turut membantu mencapai sasaran kempen penanaman 100 juta pokok.

“Program pemuliharaan paya bakau ini adalah sebagai habitat pembiakan sumber sedia ada dan menambah stok sumber demi kepentingan masa depan.

“Dan hari ini insya-Allah kita nak tanam pokok bakau dalam program. Negeri Perak dah lama dilancar oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“Jadi kita ni kalau lama tak kempen dia tenggelam macam tulah. Jadi kena kempen balik,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak ketika merasmikan program tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Silvikultur dan Kepelbagaian Biologi Jabatan Perhutanan Perak, Azmi Mohd Zain dalam pada itu mendedahkan kiraan penggunaan kadar oksigen oleh setiap manusia yang menunjukkan pentingnya hutan.

Manusia beritahunya, mempunyai kebergantungan kepada pokok kerana membekalkan oksigen yang amnya setiap individu memerlukan kira-kira enam hingga tujuh liter oksigen untuk bernafas selama 1 minit di mana terhasil dari tujuh pokok dewasa.

“(Harga) Oksigen 1 liter adalah RM10. Kita manusia sedut oksigen satu minit 6 hingga 7 liter. Jadi kita dah guna duit satu minit lebih kurang RM60. Kalau satu jam RM3,600. Kalau satu hari 24 jam RM68,400 lebih kurang. 

“Nilai yang tak nampak. Itu adalah ‘outcome’, keberhasilan, faedah kita daripada pokok. Jadi dengan jumlah oksigen tadi manusia memerlukan antara tujuh hingga lapan pokok dewasa.

“Jadi ayuh kita pagi ini, bersama YB dan Yang Berusaha Pengarah (Jabatan Perikanan Perak), bersama saya dan tuan-tuan semua, kita sama-sama buat amal kita tanam pokok,” serunya turut memaklumkan sehingga ke hari ini hampir sejuta pokok telah ditanam oleh Jabatan Perhutanan Perak. 

Program turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Noraishah Hashim dan Pegawai Hutan Daerah Larut Matang, Khairil Sarip serta Ketua Perikanan Daerah Kerian, M Sahiburahman Ahmad. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -