Kesungguhan NGO, Jawatankuasa Khas siasat kes Adib ditubuhkan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan meniliti kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan hasil perjuangan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS, Misbahul Munir Masduki, berkata NGO-NGO telah memperjuangkan kes berkenaan sejak awal insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman itu berlaku.

- Advertisement -

Katanya, tindakan dan keputusan yang dibuat itu adalah tepat demi sebuah keadilan terhadap mangsa, Muhammad Adib dan keluarganya.

“Penubuhan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal terhadap isu dakwaan bekas peguam negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ juga adalah tindakan tepat.

“Begitu juga dengan siasatan terhadap dakwaan salah guna dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Misbahul Munir, tindakan yang diambil kerajaan ketika ini adalah satu
kehendak rakyat yang sebenarnya, bukan kehendak kerajaan.

Katanya, rakyat mahukan pembelaan yang adil terhadap mangsa yang dizalimi,
dalam masa sama, rakyat juga mahu mereka yang menyalahguna kuasa diambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, turut berpendapat penubuhan pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pedra Branca/Pulau Batu Puteh juga merupakan tindakan tepat.

“Isu Pulau Batu Puteh ini adalah isu kedaulatan dan maruah negara, tindakan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas juga adalah tepat demi mengembalikan maruah dan kedaulatan negara yang tercemar akibat kealpaan dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan penafsiran dalam kes ini.

“Badan-badan NGO yang menperjuangkan isu ini hendaklah bermuafakat bagi menyokong tindakan kerajaan ini dengan mengenepikan kepentingan masing-masing demi keadilan, kedaulatan dan maruah negara,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa jemaah menteri bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa khas siasatan terhadap tiga kes penting.

Tiga kes penting tersebut ialah, siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib, semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh, dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ismail Sabri berkata, tempoh perkhidmatan ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -