Kes Adib: UMMAH sokong penuh PM tubuh jawatankuasa khas

adib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Kabinet di atas penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat secara menyeluruh kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kes itu menjadi telah menjadi kontroversi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah apabila orang yang disyaki terlibat dilepaskan.

- Advertisement -

Tambahnya, kes itu juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat sehingga telah menyebabkan berlaku beberapa himpunan bantahan daripada pelbagai pihak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik

“UMMAH dan pelbagai NGO telah menghantar dua bantahan kepada Peguam Negara Tommy Thomas pada masa itu bagi menuntut perbicaraan dan tindakan yang segera tetapi tiada tindakan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, keputusan mahkamah inkues bagi mengetahui punca kematian mendapati kematian arwah Adib adalah jelas akibat hentakan dan pukulan yang kuat daripada lebih seorang.

Beliau mengharapkan penubuhan jawatankuasa khas itu akan dapat memulihkan keyakinan undang-undang di negara ini termasuk integriti pihak PDRM, Peguam Negara dan ahli politik.

“Bagi keluarga arwah Adib dan seluruh rakyat Malaysia sudah pasti ini merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pihak-pihak yang terlibat yang cuba menutup kes itu wajar disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya.

“Kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan sejumlah pampasan yang setimpal kepada keluarga Adib sesuai dengan tugas beliau sebagai penjawat awam yang menjalankan tugas negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -