Kepesatan ekonomi gig perlu disokong kestabilan politik

- Advertisement -

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR:  Kestabilan politik merupakan perkara asas dalam memacu pertumbuhan  ekonomi negara termasuk bagi sektor baharu yang semakin pesat berkembang sejak akhir-akhir ini iaitu ekonomi gig.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, ramai pelabur berminat untuk melabur dalam sektor bisnes sekiranya keadaan politik adalah stabil, dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negara. 

- Advertisement -

Menurutnya, kestabilan politik merupakan faktor utama yang membawa kepada keyakinan  pelaburan domestik dan luar negara, seterusnya ekonomi negara boleh dijana dan peluang pekerjaan dapat dicipta sekiranya keadaan politik negara adalah baik dan stabil.

“Dalam memajukan ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, saya menyarankan agar kebebasan ekonomi dikembalikan supaya ekonomi negara boleh berkembang.

“Kembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif dalam trading dan sistem perdagangan antarabangsa dari segi  import dan eksport negara. Hal ini dapat memacu perkembangan ekonomi negara,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily, di sini, baru-baru ini.

Wan Saiful Wan Jan.

Tambah beliau, dalam keadaan ekonomi sekarang disebabkan impak pandemik Covid-19,  masyarakat Malaysia semakin ramai menceburi ekonomi gig yang ternyata telah memberi pelbagai peluang meraih pendapatan terutama bagi golongan anak muda.

Sehubungan itu, ekonomi gig mula mendapat perhatian kerajaan untuk menyuntik penambahbaikan, khususnya dengan mewujudkan PenjanaGig, iaitu program bantuan kerajaan dalam bentuk sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri(SKSPS) dengan peruntukan RM50 juta geran padanan.

Kerajaan secara rasmi mengiktiraf ekonomi gig sebagai sumber ekonomi baharu negara dengan turut memberikan fokus terhadapnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025)

Dalam pada itu Wan Saiful berkata, pada waktu sekarang di fasa endemik ini, semua pihak perlu menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ada bagi mewujudkan kestabilan politik negara. 

“Kita cakaplah mengenai  ekonomi atau tentang pelaburan sekali pun, sekiranya politik tidak stabil maka pelabur tidak akan melabur di Malaysia kerana mereka tidak yakin dengan keadaan dalam negara ini terutamanya apabila melihatkan krisis politik yang seakan tiada kesudahannya,” ujarnya. -HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -