BILA kita membaca sirah antara yang akan kita temui ialah komentar ulamak mengenai perubahan strategik disebabkan perubahan suasana. Antara perubahan suasana ialah bertambahnya bilangan pendukung (العدد الكافى). Bilangan yang mencukupi.
Pendekatan dakwah secara siriyyah di awal kenabian kepada dakwah jahriyyah selepas 3 atau 4 tahun kenabian antaranya adalah kerana penambahan bilangan ini.
Bilangan pendukung ketika itu sebenarnya tidaklah sampai membawa kepada keizinan untuk pendekatan konfrontasi kerana masih disuruh berpaling jika ada penentangan dari Musyrikin. (واعرض عن المشركين). Tetapi bilangan itu mencukupi sekadar untuk berdakwah secara terbuka.
Kerana bilangan yang sedikit bertambah itu menjadikan para duat ada teman untuk berkongsi kesusahan dan merasa sedikit kekuatan. Kekuatan iman yang ditanam selama 3 tahun oleh Rasulullah S.A.W menerusi ayat-ayat Makiyyah digabungkan dengan kekuatan berjemaah walau masih belum ramai.
Sehinggalah kemudiannya di fasa awal Madinah turunnya ayat mengizinkan konfrontasi (muwajahah bil quwwah) apabila bilangan telah mencapai angka yang mencukupi untuk bertembung. Sama ada kekuatan 10 peratus dari kekuatan musuh sekiranya semua jundiy berkualiti atau 50 peratus dari kekuatan musuh jika para jundiy bercampur antara yang qawiy dan yang dhoif.
Walaupun perkaitan angka ini masih ada perbahasan dan pendapat, namun ia tetap berkait dengan kuantiti dan kualiti. Sayugia untuk jentera jemaah di semua peringkat khasnya yang baru terpilih atau terlantik dalam Mesyuarat Agung memberi perhatian kepada sasaran kuantiti dan kualiti para pendukung dan penyokong ini.
Kena pastikan sentiasa ada penambahan dan pembaikan. Jangan statik. Ia sangat membantu kepimpinan dalam menentukan halatuju, perubahan strategi dan pendekatan semasa yang relevan. Jangan terlalu sibuk dengan kelemahan orang lain, tetapi lupa membina kekuatan sendiri
USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 13/10/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000836577438/posts/4379276245443551/