Jualan produk pertanian dalam talian raih RM63.84 juta

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Hasil kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan penyedia platform digital mempromosi hasil pertanian dalam talian melalui Program Pengukuhan Pasaran Online, berjaya meraih jualan bernilai RM63.84 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata kerjasama ini memanfaatkan seramai 1,991 usahawan yang menyertai perniagaan e-Dagang swasta seperti Shopee, Lazada, AirAsia Farm, LokalKita@Dropee, eAGRO, Mukmin Mart, Grab dan Foodpanda.

- Advertisement -

Katanya, kerjasama pemasaran dalam program pendigitalan di Pasar Tani, Pasar Kekal dan MyFarm Outlet menerusi aplikasi Mukmin Mart pula membabitkan penyertaan 430 usahawan dengan jumlah 7,180 Stock Keeping Unit (SKU) diniagakan melalui aplikasi tersebut.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membangunkan eFAMAPlace@Shoppee sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan produk agromakanan Malaysia.

“MAFI melalui Agrobazar Online (ABO) pula memberi manfaat kepada 6,209 usahawan berdaftar setakat ini,” katanya menjawab soalan lisan Senator Md Nasir Hashim di Dewan Negara, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata, program itu turut memperkasakan usahawan dalam pendigitalan melalui media sosial, Marketplace serta Automasi Pemasaran.

Katanya, pemerkasaan tersebut melibatkan kerjasama MAFI dan agensi lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dari segi khidmat nasihat, latihan dan bimbingan berterusan kepada usahawan, selain penyedia platform digital terlibat membantu pemasaran dan promosi hasil pertanian

“Kerajaan sentiasa mengambil cakna dan bekerjasama secara strategik dengan penyedia platform digital dalam talian bagi memperkasa dan memperkukuh ruang pemasaran produk pertanian dan makanan secara terus kepada pengguna,” katanya.

Melalui pemasaran atas talian ini, katanya medium berkenaan juga bertindak sebagai kaedah pemasaran alternatif untuk membantu petani, usahawan, pengeluar dan peladang memasarkan hasil pertanian, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 13/10/21

- Advertisement -