Jawatankuasa Khas siasatan: Kerajaan bela kematian Adib

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat secara teliti kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan tanggungjawab dan kesungguhan kerajaan untuk membela kematian Allahyarham Adib.

Presiden Rahmat Care, Ustaz Muhammad Ibrahim berkata, tindakan kerajaan adalah suatu penantian yang sememangnya ditunggu-tunggu.

- Advertisement -

“Sudah lama Arwah Adib meninggalkan kita, semoga kebenaran akan menyebelahi Adib kali ini dan pelaku akan menerima balasan yang setimpal.

“Mungkin penyiasatan akan menjadi lebih sukar, namun kami percaya kita mempunyai kepakaran untuk menegakkan keadilan untuk Arwah Adib,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Menurutnya yang juga dikenali sebagai Ustaz Mad China, situasi yang dihadapi Allahyarham Muhammad Adib tidak mustahil akan dilalui oleh petugas keselamatan lain.

Tambah beliau, sekiranya pengorbanan Allahyarham Adib tidak mendapat pembelaan sewajarnya, petugas keselamatan lain mungkin akan berasa mereka tidak mempunyai nilai di mata kerajaan dan juga rakyat.

“Sedangkan anggota keselamatan ini mempertaruhkan nyawa mereka ketika menyahut  panggilan untuk ke lokasi kejadian yang tentunya berbahaya.

“Justeru, saya berharap dengan penubuhan jawatankuasa ini akan memberi mesej bahawa kerajaan prihatin dan menghargai setiap nilai dan nyawa petugas keselamatan yang bertugas memastikan negara aman,” ujarnya.

Semalam, Jawatankuasa Khas yang ditugaskan untuk menyiasat secara teliti kematian Allahyarham Muhammad Adib telah memutuskan untuk melantik pakar patologi kanan bagi membantu siasatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pakar patologi akan melakukan siasatan menyeluruh untuk menyiasat keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner, hasil siasatan polis dan aspek lain mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Wan Junaidi yang juga Pengerusi jawatankuasa khas itu memberitahu, pakar patologi diberi tempoh akhir yang telah ditetapkan untuk menyelesaikan siasatan dan membuat laporan terperinci mengenai hasil penemuan mereka.  – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -