Jawatankuasa Khas diharap kumpul segera butiran penting kes Adib

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat dan meneliti kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diharap dapat membantu kerajaan mengumpulkan butiran-butiran penting yang melibatkan kes itu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, dengan penubuhan jawatankuasa itu, beliau berharap ia juga dapat menghilangkan kerisauan dan keraguan rakyat mengenai kes Allahyarham Muhammad Adib.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, semoga jawatankuasa ini akan dapat menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya. Semoga ia juga dapat menghilangkan keraguan dan kerisauan masyarakat tentang hal ini.

“Diharapkan butiran-butiran kes Adib dapat dikumpul dengan segera, insya-Allah. Ini kerana masyarakat sudah lama mmpersoalkan hal ini. Terima kasih kepada pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa jemaah menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan meneliti kes Allahyarham Muhammad Adib yang terkorban ketika bertugas.

Allahyarham Muhammad Adib, cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019.

Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -