i-RAHMAN: Terengganu sudah tunai 17 daripada 20 manifesto

KUALA TERENGGANU: Permohonan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) tanpa faedah yang bernilai RM50 juta akan dibuka pada minggu hadapan, 17 Oktober hingga Februari 2022.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan inisiatif itu menjadikan kerajaan negeri kini telah mengotakan 17 daripada 20 manifesto yang dijanjikan.

Advertisement

Menurutnya, sistem pembiayaan tersebut terbahagi kepada dua kaedah pelaksanaan, iaitu 30 peratus daripada RM50 juta (RM15 juta) adalah pembinaan rumah atas tanah sendiri atau pihak ketiga Rumah Mesra Rakyat (RMR RAHMAN).

“Yang kedua, penswastaan (70 peratus atau RM35 juta daripada RM50 juta) atau pinjaman untuk pembelian rumah bagi projek-projek swasta yang dibuat usaha sama dengan kerajaan negeri (bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri).

“Sebagai permulaan, kerajaan akan melaksanakan kaedah pembinaan rumah atas tanah sendiri terlebih dahulu, ia akan melibatkan kerjasama kita dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu pembinaan RMR di atas tanah pemohon yang dikenali sebagai RMR RAHMAN.

“Sistem pinjaman sebanyak RM55 ribu tanpa faedah ini akan dikenakan kepada pemohon yang layak dan berjaya, permohonan (RMR RAHMAN) bagi tahun 2022 kini boleh dibuat menggunakan sistem e-Perumahan Versi III bermula 17 Oktober 2021 sehingga 28 Februari 2022,” katanya.

Jelasnya lagi, melalui sistem yang baharu ini, permohonan akan diwar-warkan melalui pautan yang dipaparkan dalam sistem dan pemohon boleh memasukkan butiran peribadi dan butiran tanah yang akan dicadangkan untuk pembinaan rumah tersebut.

“Hanya tanah yang sesuai dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Majlis Pelancaran (i-RAHMAN), pagi tadi.

Menjelaskan tentang usaha mewujudkan tabung pinjaman perumahan tersebut, Samsuri berkata, kerajaan negeri memerlukan pulangan modal seimbang agar pinjaman tersebut dapat diberikan kepada pemohon-pemohon yang baru.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada para peminjam yang berjaya membuat pembiayaan melalui i-RAHMAN ini untuk melunaskan bayaran pinjaman setiap bulan, ramai golongan di luar sana yang sangat memerlukan dana untuk membuat pinjaman perumahan yang mampu dimiliki.

“Kerajaan negeri amat bertegas dalam soal ini agar kita dapat membantu seramai mungkin rakyat yang memerlukan,” ujarnya. – TRDI.my