98.38 peratus guru di Pahang sudah divaksin

- Advertisement -

KUANTAN: Sebanyak 98.38 peratus guru di Pahang telah menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Pengarah Pendidikan negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Beliau berkata 301 guru yang masih belum menerima suntikan vaksin itu diberikan masa hingga 1 Nov ini iaitu tarikh akhir yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk berbuat demikian.

- Advertisement -

“Bagi vaksinasi pelajar di sekolah yang berusia 12 hingga 17 tahun, ia telah mencapai 85.21 peratus setakat 5 Okt lepas, dengan ibu bapa memberikan kerjasama sangat baik kepada program pemberian vaksin ini,” katanya.

Mohammad Rosli berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Permuafakatan antara Jabatan Pendidikan Pahang dengan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata statistik jenayah melibatkan pelajar di negeri ini berkurangan pada tahun ini, jika dibandingkan daripada tahun sebelumnya.

Setakat September lepas, 34 kes jenayah melibatkan 58 pelajar direkodkan berbanding 43 kes dengan 88 pelajar bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kes yang paling banyak dilaporkan bagi dua tahun ini ialah jenayah seksual diikuti jenayah harta benda seperti curi, selain buli, narkotik dan kesalahan trafik.

“Sehubungan itu, kita akan memperbanyakkan program pendidikan dan pencegahan di sekolah, selain lebih banyak operasi berkaitan penguatkuasaan trafik akan dilakukan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -