140 premis dapat sijil Anugerah Kedai Harga Patut

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menganugerahkan 140 sijil Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021.

Anugerah berkenaan diberikan kepada peniaga yang menjual barangan pilihan orang ramai dengan harga berpatutan.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, peniaga yang menerima sijil berkenaan membabitkan lapan kategori termasuk gerai makan, kedai alat tulis, kedai pakaian dan pasar mini.

- Advertisement -

“Tujuan AKHP 2021 untuk menggalakkan premis perniagaan yang menjual barangan digemari pengguna dengan harga berpatutan dan kompetitif tanpa mengabaikan kualiti dan perkhidmatan jualan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Penyerahan anugerah berkenaan disempurnakan Adnan kepada Pengurus Kedai Makan Mutiara Corner dan Pengurus Pasaraya Pantai Timur.

Menurutnya, penilaian dibuat berdasar prestasi pematuhan dengan menjual barangan pada harga patut, berkualiti dan menjadi pilihan pengguna.

Adnan juga berkata, pengiktirafan AKHP 2021 diberikan kepada peniaga yang sentiasa memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan memenuhi kehendak serta keperluan pengguna. AKHP diperkenalkan sejak 2003.

Menurutnya juga objektif pelaksanaan penganugerahan AKHP 2021 bagi menaikkan semangat peniaga di musim pandemik Covid-19 serta merangsangkan semula ekonomi negara secara pragmatik.

“Ini untuk memastikan semua suara didengari, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Kerjasama pelbagai pihak secara berterusan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -