12 burung kuang diseludup bernilai RM12,000

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Sekumpulan lelaki melarikan diri dengan menaiki bot galah ke Thailand apabila pangkalan haram Paija di Pengkalan Kubor, dekat sini diserbu pihak berkuasa.

Serbuan dilakukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 6 pagi dua hari lalu berikutan ternampak beberapa lelaki sedang memunggah kotak di tebing Sungai Golok.

- Advertisement -

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika rondaan, beberapa lelaki dilihat sedang memunggah kotak berwarna coklat dari sebuah perahu ke dalam kereta.

“Sebaik sahaja pihak kami menghampiri kumpulan lelaki itu, mereka melarikan diri menaiki perahu ke arah Thailand.

“Mereka meninggalkan sejumlah kotak di bahagian penumpang belakang dan dalam but kereta Proton Iswara. Hasil pemeriksaan dalam kotak menemui 12 ekor burung kuang yang diseludup dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua burung itu dipercayai untuk pasaran sekitar Pengkalan Kubor terutama di beberapa kampung berhampiran.

Katanya, semua burung bersama kereta dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Perhilitan 1972. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -