Usaha pemuliharaan penyu perlukan kesedaran awam

- Advertisement -

PORT DICKSON: Kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung penting dalam memastikan usaha pemuliharaan penyu jenis karah (hawksbill turtle) dan penyu agar (green turtle) terus dilindungi daripada ancaman kepupusan.

Penyelia sambilan di pusat pemuliharaan dan penetasan penyu di sebuah pusat peranginan di sini, Hishamudin Abdul Manap berkata susulan kebenaran merentas negeri dibenarkan, orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan pantai serta tidak membuang sampah merata-rata yang akan menjadi ancaman kepada hidupan reptilia tersebut.

Berpengalaman lebih 13 tahun sebagai renjer mengutip telur penyu dan penjagaan haiwan itu di Tanjung Gemok di sini, Hishamudin mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi program penanaman telur penyu serta cara penjagaan spesies tersebut.

- Advertisement -

“Kira-kira 800 telur penyu setahun dapat diselamatkan sebelum wabak COVID-19 melanda negara ini bagi memastikan kesinambungan kehidupan haiwan reptilia itu.

“Akibat kekangan COVID-19, untuk tahun ini saya dapat mencari 48 telur penyu karah, ia susulan orang awam menjumpai 46 ekor anak penyu spesies yang sama masih hidup di sini,” katanya selepas proses penanaman telur penyu karah di Glory Beach Resort di sini baru-baru ini.

Beliau berkata orang awam yang menemukan anak penyu di pantai tersebut digalakkan menelefon Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) supaya haiwan tersebut dapat diberi perlindungan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke pantai.

Hishamudin, 50, berkata sikap orang awam yang melindungi haiwan tersebut amat terpuji namun diingatkan pelepasan anak penyu mempunyai masa tertentu dan sebaiknya dilepaskan sekitar 8 malam hingga 12 tengah malam bagi mengelakkan haiwan itu dimakan oleh pemangsa seperti burung gagak, helang dan biawak pada waktu siang.

Ketika sesi penanam telur penyu tersebut, pengunjung diberi penerangan mengenai teknik menanam telur berkenaan, cara mengenal pasti jenis telur penyu dan tempoh penetasan anak penyu.

“Telur penyu ini dijangka menetas dalam tiga hingga lima hari lagi, ia berikutan terdapat anak penyu dijumpai oleh orang awam baru-baru ini… dari segi struktur telur penyu ini, mungkin ia sudah dieram lebih 50 hari.

“Seekor penyu betina berusia 25 tahun akan bertelur sebanyak empat kali setahun dengan kuantiti lebih 100 telur dan tempoh telur dieram selama 55 hingga 60 hari,” katanya.

Lebih menarik lagi, pengunjung di Glory Beach Resort juga dapat melihat tiga ekor penyu agar yang dipelihara hasil penetasan telur penyu dilakukan kira-kira lima tahun lepas hasil kerjasama JPNS dan pihak resort berkenaan.

Penyu berkenaan diberi nama ‘Remy Ishak’ berusia lima tahun, ‘Aaron Aziz’ (empat tahun) dan ‘Maya Karin’ (tiga tahun).

Sementara itu JPNS menerusi Facebook rasminya memaklumkan kerjasama pengurusan dan pemuliharaan penyu bersama Glory Beach Resort telah lama terjalin sejak 2013 hingga kini. 

JPNS telah memberi kebenaran secara bersyarat kepada tempat peranginan berkenaan menjalankan konservasi penyu termasuklah pameran, pemilikan penyu hidup dan hatceri telur penyu. 

Orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan tersebut diberi kesedaran mengenai kepentingan memulihara reptilia terancam ini. – BERNAMA

- Advertisement -