Program ‘Malaysianisasi’ inisiatif bantu pekerjaan rakyat

- Advertisement -

SEMALAM saya berkesempatan untuk bertemu dengan YB Dato’ Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia bagi menyatakan hasrat daripada kalangan anak muda berkenaan soal kebajikan mereka yang bekerja sendiri dan juga pencari pekerjaan yang dirasakan tidak terjaga sepanjang pandemik ini melanda.

Kementerian Sumber Manusia telah berjaya memperkenalkan program ‘Malaysianisasi’ bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan di kalangan majikan tempatan, sekali gus dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja warga asing.

- Advertisement -

Perkara yang saya bangkitkan ketika pertemuan kami tadi adalah selari dengan apa yang saya suarakan di Dewan Negara berkenaan isu mahasiswa yang perlu menjalani latihan industri tanpa elaun atau elaun yang tidak mencukupi. 

Hari ini, masih terdapat mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri diperlakukan sebagai ‘hamba’ di tempat mereka menjalani latihan industri. Hakikat yang masih berlaku juga adalah terdapat segelintir syarikat yang memberikan elaun yang sangat minima kepada para mahasiswa ini walaupun mereka dikerah seperti pekerja am.

Yang lebih teruk lagi, ada para mahasiswa kita ini yang masih tidak mendapat elaun sepanjang menjalani latihan industri walaupun kerajaan menyokong pemberian elaun tersebut. Di sinilah MTUC dan CUEPACS juga perlu bersuara membantu para mahasiswa.

Selain daripada isu elaun latihan industri, para graduan juga mengadu pada saya berkenaan gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan tidak menepati piawaian kehidupan masa kini terutamanya di bandar-bandar besar. 

Dengan adanya inisiatif ‘Malaysianisasi’ ini, saya yakin akan membawa kebaikan buat para graduan di luar sana yang masih menganggur dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah dalam negara kita.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 12/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/403454261150998/posts/412007960295628

- Advertisement -