Nasihat buat pemimpin

- Advertisement -

TUGAS seorang pemimpin adalah menjaga kebajikan rakyat, bukannya hanya menjaga kepentingan sendiri. Suka saya titipkan sedikit nasihat buat diri saya, serta sahabat-sahabat saya di pucuk pimpinan yang lain seperti yang disebut oleh Khalid Ali Muhammad al-Anbari. 

- Advertisement -

Beliau berkata, antara sepuluh asas menjaga kepentingan rakyat ialah: 

1. Apabila sesuatu perkara berlaku kepada orang ramai, dia hendaklah menganggap dirinya sebagai rakyat dan pemerintah ialah orang lain. Setiap sesuatu yang tidak disukai untuk diri sendiri juga mesti dielakkan daripada orang lain.

2. Jangan menganggap penantian seseorang yang memerlukan untuk mendapatkan pertolongan daripadanya sebagai satu kehinaan kerana Allah S.W.T telah memerintahkannya menyegerakan bantuan kepada yang memerlukan.

3. Jangan menghabiskan waktunya untuk kepuasan syahwat dan mesti berusaha agar sebahagian besar waktunya adalah untuk mentadbir hal ehwal kerajaan serta rakyat.

4. Berusaha sedaya upaya agar sesuatu perkara itu diperolehi dengan mudah dan penuh kemesraan. Rasulullah S.A.W juga telah berdoa untuk para umarak dengan sabda-Nya:

‎اللَّهمَّ مَن وَلِيَ مِن أَمرِ أُمَّتِي شَيْئًا فشَقَّ عَلَيهمْ فَاشقُقْ عَلَيهِ وَمَن وَلِيَ مِن أَمرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرفَق بِهِم فارفُقْ بِهِ.

 “Ya Allah! Barangsiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umatku dan dia menyusahkan mereka maka engkau sukarkanlah urusan mereka, tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umatku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya.”

(Riwayat Muslim (1828))

5. Berusaha sekadar tenaga dan kemampuannya untuk memperolehi kepercayaan dan restu rakyat terhadapnya berteraskan nilai-nilai syarak.

6. Jangan berusaha mendapat restu seseorang sehingga melanggar keredhaan Allah S.W.T dan hendaklah mendahului tuntutan syarak terhadap kepentingan dirinya.

7. Sekiranya rakyat memerlukan hukuman, maka hendaklah berlaku adil tetapi sekiranya mereka memohon simpati maka hendaklah mengampunkan mereka dan tidak mengingkari sekiranya berjanji kepada mereka.

8. Berusaha merapati para ulamak yang muttaqin (bertakwa) dan soleh untuk mendengar peringatan serta nasihat mereka.

9. Bersungguh meninggalkan sifat bermegah, bongkak dan garang.

10. Memastikan bukan sahaja dirinya tidak melakukan kezaliman tetapi juga perwakilan, anggota tenteranya serta semua yang di bawah pentadbirannya kerana kesan daripada kezaliman akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah kerajaan. Para raja mestilah memuliakan serta didekati oleh para pemikir dan pentadbir yang beragama, menerima nasihat serta syafaat mereka melalui mesyuarat dan perbincangan bersama mereka kerana ia boleh mengukuhkan kedudukan negara.

Selagi mana sepuluh asas tersebut dipelihara dalam pemerintahan, maka kekuatan kerajaan, kemakmuran serta keamanan akan semakin bertambah dan menghasilkan kesan yang positif serta keadilan yang boleh menundukkan hati-hati manusia.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=421319699555076&id=100050311487174

- Advertisement -