Muslimat PAS Sandakan tampil muka baharu

- Advertisement -

Oleh NOOR FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Dewan Muslimat PAS Kawasan Sandakan (DMPKS) yang selesai melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan pada Ahad lalu di Pejabat PAS kawasan, Taman Indah Jaya dekat sini telah menampilkan muka baharu bagi menggalas barisan kepimpinan sesi 2021-2023.

Ketuanya, Ummu Syifa’ Tasman ketika menyampaikan ucapan penggulungan merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada mantan Ketua Muslimat, Norfaezah Junaidi dan seluruh exco sesi lalu atas khidmat cemerlang mengemudi parti.

- Advertisement -

Ummu Syifa’ turut merakamkan penghargaan kepada seluruh perwakilan yang memilih beliau sebagai kepimpinan baharu dan mengharapkan kerjasama daripada seluruh ahli agar dapat memacu perubahan serta kecemerlangan DMPKS selari dengan konsep Islam memimpin Keluarga Malaysia.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi ucapan melalui video maya daripada Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh yang berpesan kepada seluruh jentera agar bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal dihadapi bila-bila masa.

Mesyuarat agung tahunan kali ke-19 itu turut diadakan secara dalam talian bagi mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa yang hanya membenarkan perkumpulan ramai 50 peratus mengikut kapasiti tempat. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -