Malaysia kekal pendirian AUKUS berpotensi gugat Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian bahawa pembentukan pakatan strategik keselamatan baharu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AUKUS) melahirkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia konsisten dengan pendirian disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa AUKUS juga boleh mewujudkan provokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Advertisement

“Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas bertemu utusan khas Australia Naib Laksamana David Johnston dan sebelum itu saya adakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton.

“Dalam kedua-dua perbincangan ini saya telah tegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitk pertimbangan kuasa-kuasa besar dunia di rantau ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini,

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (Umno-Parit) yang mahu tahu pendirian terkini kerajaan berhubung AUKUS susulan kunjungan Johnston baru-baru ini.

Hishammuddin berkata dalam kedua-dua perbincangan ini, beliau turut menekankan bahawa sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia berpegang kepada prinsip untuk kekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Australia harus hormati prinsip ini dan pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Saya juga maklumkan sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat atau mahu laksana latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mesti terlebih dahulu diperoleh di mana saya akan pertimbangkannya secara mengikut kes,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Mohd Nizar yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang memanfaatkan kerjasama pertahanan di peringkat ASEAN bagi menyuarakan kegusaran terhadap AUKUS, Hishammuddin menjangka satu pendirian bersama akan diputuskan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN November ini.

Dalam masa sama, katanya beliau turut berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura, Indonesia, Brunei dan akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja esok serta Menteri Pertahanan Filipina dalam masa terdekat.

“Saya harap apa diwujudkan Malaysia dan negara-negara berkenaan secara dua hala dapat membantu kita meneliti cara bagaimana kita dapat mengimbangi kuasa-kuasa besar di rantau kita,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang dianggotai Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura dalam masa beberapa minggu lagi. – BERNAMA