Malaysia guna kepakaran tempatan bangunkan vaksin Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dua teknologi vaksin Covid-19 sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan teknologi vaksin berasaskan mRNA dan virus ternyahaktif.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata pembangunan vaksin ini dilaksanakan secara strategik membabitkan IMR dan KKM bersama penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

- Advertisement -

Pada masa ini, katanya kedua-dua projek berkenaan masih di peringkat makmal, iaitu bukti konsep sebelum fasa kajian praklinikal dilaksanakan.

“Status terkini pembangunan vaksin Covid-19 di IMR, vaksin virus ternyahaktif berada di tahap penyahaktifan virus, manakala vaksin mRNA sedang menjalani proses “in vitro transcription”,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Yahaya di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, melalui kemahiran menjalankan pembangunan vaksin COVID19, teknologi vaksin tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan bakteria atau virus yang lain serta rawatan penyakit kronik.

Katanya, kerajaan juga sedang membangunkan Pelan Pembangunan Vaksin Negara untuk memastikan Malaysia mampu menjadi negara pengeluar vaksin manusia pada masa akan datang dan tidak hanya terikat kepada vaksin Covid-19.

“Jawatankuasa bagi membangunkan pelan ini dipengerusikan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM,” katanya.

Sehubungan itu, katanya MOSTI akan menubuhkan sebuah pusat vaksin negara yang dikenali sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) yang menempatkan pakar khusus dalam bidang penyelidikan dan penghasilan vaksin.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan kerajaan terhadap golongan antivaksin, katanya kerajaan berpendirian bahawa penerimaan vaksin oleh rakyat mesti secara sukarela.

Katanya, kerajaan akan meneruskan usaha advokasi dan memberi penerangan yang tepat kepada rakyat mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kerajaan meminta mereka yang tidak mahu menerima vaksin Covid-19 supaya tidak pula menghasut orang lain kerana penggunaan vaksin di negara ini terbukti berkualiti, selamat dan berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/21

- Advertisement -