Belum boleh buat kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan melakukan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negara ini selepas tempoh kajian sebelum ini berakhir antara tahun 2023 hingga 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada SPR untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap Kawasan Pilihan Raya di negara ini yang terbahagi kepada tiga unit berasingan.

- Advertisement -

Katanya, tiga unit berkenaan ialah Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan tempoh 8 tahun bagi kajian semula persempadanan, negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, Sabah pada tahun 2025, manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pada tahun 2026,” katanya menjawab soalan lisan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, SPR hanya melakukan kajian semula persempadanan berdasarkan dua faktor, iaitu pertama, tamat tempoh tidak kurang lat 8 tahun daripada tarikh siapnya urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya dan kedua, terdapat pindaan kepada undang- undang.

Faktor pertama, katanya jika berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan Kajian Persempadanan Semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat 8 tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya dan jika SPR memulakan urusan berkenaan, perlu diselesaikan dalam tempoh 2 tahun.

“Faktor kedua ialah terdapat pindaan undang-undang, iaitu apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu, SPR hendaklah melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula dalam tempoh 2 tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa,” katanya.

Secara dasar, katanya setiap pemilih akan mengundi berdasarkan Kawasan Pilihan Raya yang telah ditetapkan kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya jumlah pemilih dalam sesuatu kawasan yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor seperti kesulitan atau kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.

“Setiap kawasan adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu kawasan tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan kawasan yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/21

- Advertisement -