Wujudkan perlindungan sosial untuk kanak-kanak

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memasukkan golongan kanak-kanak dalam sistem perlindungan sosial yang kini memanfaatkan golongan B40.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan melakukan usaha terbaik dengan memperkenalkan Skim Perlindungan Sosial B40 bagi menambah baik tahap jaringan keselamatan sosial golongan berkenaan.

- Advertisement -

Katanya, langkah kerajaan menyalurkan RM50 bagi setiap inidividu B40 yang mencarum perlindungan sosial amat wajar bagi menerapkan asas kukuh untuk perlindungan sosial terhadap risiko hidup yang boleh menimpa sesiapa sahaja.

“Bagaimanapun, saya mencadangkan kerajaan memperluaskan bantuan ini kepada golongan kanak-kanak. Jelas sekali perlindungan sosial kepada kanak-kanak memainkan peranan penting sebagai pelaburan untuk meningkatkan potensi awal setiap kanak-kanak dengan menyediakan persekitaran dan keupayaan menjalani kehidupan selesa serta keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 (Akta 830) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain juga mencadangkan kerajaan mewujudkan satu sistem maklumat bersepadu perlindungan sosial negara bagi memberi manfaat jaminan sosial yang lebih cekap untuk setiap individu menyalurkan maklumat.

Katanya, langkah ini memudahkan pihak kerajaan menyalurkan apa-apa bantuan perlindungan dengan lebih bersasar.

Sebelum itu, katanya, ketidaksamaan perlindungan sosial di Malaysia adalah disebabkan beberapa faktor, termasuk hasil cukai rendah dan perbezaan pendapatan menyebabkan golongan rentan tidak mampu untuk mencarum apa-apa skim perlindungan sosial mahu pun untuk diri atau keluarga mereka.

Beliau berkata, kesannya ialah perlindungan sosial di Malaysia berada di tahap minimum, berbanding negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan sederhana tinggi. – HARAKAHDAILY 11/10/21

- Advertisement -