Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: Orang ramai meluahkan rasa gembira dan teruja dengan keputusan kerajaan memberikan kebenaran untuk merentas negeri bermula hari ini, setelah lama tidak dapat pulang ke kampung dan melancong dalam negara.
Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati orang ramai memberikan respons positif, namun tetap menitipkan nasihat agar masyarakat di negara ini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan.
Penulis konten, Amni Mu’Izzah Ahmad Azmy, 29, berkata, kebenaran untuk merentas negeri dapat menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat setelah lama terperuk di rumah.
“Saya gembira dengan kebenaran rentas negeri kerana sudah bertahun lamanya rakyat Malaysia tidak ke mana-mana, selain sekitar tempat yang berdekatan sahaja. Sebaik sahaja Perdana Menteri membuat pengumuman semalam, saya terus menempah tiket kapal terbang untuk pergi bercuti,” ujarnya.
Katanya, bayi dan kanak-kanak perlu didedahkan kepada alam semulajadi seperti pantai, taman-taman rekreasi dan alam sekitar kerana ia membantu tumbesaran mereka.
“Tumbesaran bayi juga akan terbantut sekiranya mereka tidak didedahkan dengan alam sekitar yang menghijau,” katanya.
Tambah Amny, dia memandang tinggi usaha dilaksanakan oleh puteri sulung Yang Di-Pertuan Agong, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah yang telah mengasaskan perusahaan sosial yang dinamakan, Green Ribbon Group untuk membantu menggerakkan agenda kesihatan mental di Malaysia.
“Ia merupakan langkah yang bagus dalam memastikan kesejahteraan masyarakat kita untuk generasi akan datang, memandangkan peningkatan tekanan, kebimbangan dan kemurungan daripada isu-isu sosioekonomi yang dihadapi oleh semua akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu menurut penjawat awam, Mohd Nuri Al-Amin Mohamed, 36, pencapaian 90 peratus vaksinasi bagi kelompok komuniti dewasa dalam kalangan rakyat adalah satu pencapaian yang sangat baik buat Malaysia bagi menjamin keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan mereka.
Menurutnya, pencapaian tersebut juga membuktikan rakyat negara ini mempunyai tahap kesedaran yang tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi meneruskan kelangsungan hidup yang telah terbantut lebih kurang dua tahun sepanjang pandemik Covid-19 melanda dunia amnya dan Malaysia khususnya.
“Keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri ini tentunya disambut baik oleh seluruh rakyat yang membolehkan mereka hidup dalam norma baharu dan meneruskan kelangsungan hidup. Majoriti rakyat Malaysia telah bersedia dengan era endemik dan norma-norma baharu dalam kehidupan,” katanya kepada HarakahDaily.

Selain itu Nuri berkata, kebenaran rentas negeri itu juga mampu mengeratkan kembali hubungan kekeluargan dalam kalangan rakyat Malaysia yang telah lama terpisah disebabkan larangan merentas negeri. Aktiviti ekonomi juga akan bernafas semula dan kembali ceria seperti sebelum pandemik.
“Antara aktiviti yang tentunya saya tidak sabar lakukan dengan kebenaran rentas negeri adalah pulang ke kampung halaman untuk berjumpa sanak-saudara, melancong ke tempat-tempat pelancongan yang telah lama tertangguh dan dapat menjana semula pendapatan keluarga menerusi perniagaan. Apa pun aktiviti yang ingin dilakukan, orang ramai perlu sentiasa mematuhi SOP yang telah digariskan kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pegawai bank, Muhammad Khairul Zamir Abd Aziz, 30, pula berkata, langkah kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri setelah kejayaan vaksinasi 90 peratus dalam kalangan warga negara ini adalah wajar kerana perkara tersebut tidak boleh selamanya disekat, lagipun sekarang ini Malaysia sudah memasuki fasa endemik dan bukan lagi fasa pandemik.
“Kehidupan perlu diteruskan seperti biasa, cuma masyarakat perlu biasakan diri bagi menghadapi norma baru era endemik ini. Bagi program vaksinasi pula, saya lihat rakyat mula faham akan kepentingan pengambilan vaksin cuma kerajaan perlu menerapkan dengan lebih terperinci dan berkala tentang perkara itu,” katanya.

Katanya lagi, dia merancang untuk melawat dan menghabiskan masa terluang bersama ibu bapa dan keluarganya di kampung halaman. Muhammad Khairul turut menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan kendiri dan membuat swab test bagi melindungi diri dan keluarga tercinta daripada bahaya yang tidak diingini daripada jangkitan Covid-19.
Terdahulu, kerajaan membenarkan rentas negeri berkuat kuasa pada hari ini, 11 Okt 2021 selepas hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti tersebut susulan penularan Covid-19.
Berita gembira itu diumumkan semalam oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Sidang Media Khas di Bangunan Perdana Putra, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung halaman.
Menurut beliau, kebenaran merentas negeri kepada orang ramai diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus pada Ahad lepas. – HARAKAHDAILY 11/10/2021