Program ‘Anakku Sejahtera’ untuk masa depan anak Kedah

- Advertisement -

LEMBU Pak Ngah Mat dan lembu Tok… itulah simpanan SSPN Prime mak pak saya pada masa lalu. Menabunglah kita pada waktu laa ni untuk anak-anak mengaji pada masa depan. Kata orang, nak makan hari ini pun tak dak, lagu mana nak taruh untuk masa depan? 

Mungkin menyedari mengenai persoalan ini, maka orang tua-tua kita membuat pantun bidalan, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian – bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

- Advertisement -

Semalam saya merasmikan Program Anakku Sejahtera anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Anak-anak Kedah yang lahir pada Januari 2021 hingga Disember 2021 boleh memohon program ini. Kerajaan Negeri Kedah akan buka akaun di ‘Simpan SSPN Prime’ sebanyak RM100 seorang dengan peruntukan RM1 juta ringgit setahun. Borang boleh didapati di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah masing-masing.

Permulaan RM100 ringgit ini sebagai modal mula untuk ibu bapa terus menyimpan secara harian, mingguan, bulanan atau ikut keupayaan masing-masing demi pendidikan anak-anak pada masa depan. Selain dilindungi insuran takaful jika ibu bapa meninggal dunia, SSPN Prime juga menawarkan geran sepadan sehingga RM10,000 bagi penyimpan yang menabung dalam tempoh tertentu. Contohnya jika simpanan dalam tempoh 10 tahun terkumpul sebanyak RM5,000, geran sepadan yang akan diberikan oleh SSPN Prime adalah RM5,000 secara percuma.

Ini kaedah terkini untuk menggalakkan ibu bapa merancang untuk pendidikan anak-anak pada masa depan. Jika pada masa dulu ibu bapa yang berfikiran jauh ‘menabung’ dengan memelihara lembu atau kerbau pawah yang lebih berisiko, sistem sekarang lebih mudah dan selamat. 

Saya kisahkan sedikit usaha mak dan pak menanam ubi dan memelihara lembu pawah milik pak menakan dan tok sebagai tabungan kami adik beradik meneruskan pengajian di peringkat menengah dan universiti. Seperti biasa mengenang masa lalu akan membangkitkan emosi sedih dan pilu. Semoga mak dan pak dianugerahkan pahala melimpah ruah atas usaha mereka pada masa lalu untuk anak-anak. 

Menabunglah di Skim Simpan SSPN Prime untuk masa depan anak-anak kita. Dengan disiplin menabung RM10 – RM20 sebulan yang amal sekarang, mudah-mudahan kita dan mereka tidak terbeban hutang pengajian pada masa depan.

“Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua”

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 11/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/577541902629776/posts/1481812362202721/

- Advertisement -