Politik kepartian berlebih-lebihan punca ketidakharmonian kaum

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Golongan ahli politik tempatan disarankan agar jangan terlalu berlebih-lebihan dengan mainan politik kepartian dalam usaha mewujudkan keharmonian kaum di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dalam usaha memastikan semangat Keluarga Malaysia terlaksana, apa yang perlu dipastikan adalah agar kerajaan sentiasa berada dalam keadaan stabil kerana usaha ini tidak akan berjaya sekiranya kerajaan goyah dari segi kestabilan.  

- Advertisement -

Justeru, menurutnya, semua ahli-ahli politik di negara ini digesa agar mengurangkan aktiviti politik kepartian secara berlebih-lebihan bagi menghapuskan masalah ketidakharmonian kaum di Malaysia.

“Selama tiga tahun kebelakangan ini, rakyat melihat bahawa orang politik tidak habis-habis dengan politik kepartian dan ini menyebabkan rakyat berasa meluat dengan senario politik Malaysia secara keseluruhan,” tegasnya.

Selain itu, tambah Wan Saiful, dalam mewujudkan keharmonian kaum di negara ini, program-program dan aktiviti-aktiviti yang membawa mesej positif terhadap hubungan antara kaum perlu diperbanyakkan.

“Perbanyakkan program-program yang mempertemukan masyarakat berbilang kaum di negara ini apabila prosedur operasi standard (SOP) dibenarkan kelak, agar Keluarga Malaysia benar-benar menjadi satu keluarga yang harmoni,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di sini,  baru-baru ini.

Tambah beliau, rangka konsep Keluarga Malaysia ini diperkenalkan ketika Malaysia berada di separuh pertama wawasan kemakmuran bersama. 

Menurutnya, wawasan kemakmuran bersama merupakan satu gambaran yang besar dalam merealisasikan negara menjadi sebuah negara yang makmur.

“Manfaat ekonomi dijana hasil daripada usaha kerajaan dan syarikat swasta yang kita mahu kongsi bersama telah menjadikan ia elemen-elemen yang cantik.

“Sekiranya kita boleh meneruskan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk program-program yang dilihat oleh rakyat terutamanya program pembangunan ekonomi yang membantu masyarakat majmuk di negara ini, maka insya-Allah, kita boleh zahirkan semangat Keluarga Malaysia dengan lebih baik. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -