PAS Kalabakan bantu penduduk di pedalaman

- Advertisement -

Oleh NURUL HAZIMAH

KALABAKAN:
Perjalanan untuk sampai ke Kampung Mukandot, Luasong yang terletak dalam Parlimen Kalabakan, mengambil masa hampir dua jam.

Anggota program Suatemu terpaksa menelusuri jalan yang agak panjang dan tidak berturap serta dikelilingi pohon yang menghijau di kiri dan kanan untuk sampai sampai di kampung yang berada dalam Dun Sebatik itu.

- Advertisement -

Program yang dilaksanakan oleh PAS Kawasan Kalabakan dan ARC PAS kawasan itu bertujuan untuk menyampaikan sumbangan dan menyantuni kepada penduduk pedalaman yang jauh dari bandar Tawau.

Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Usman Madeaming hadir berkata penduduk di Kampung Mukondot berjumlah hampir 200 orang.

“Penduduk di kampung ini tidak mempunyai prasarana air serta elektrik sejak sekian lama dan selain itu jalan juga tidak berturap,” katanya yang menyampaikan bakul makanan kepada penduduk.

Beliau berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan itu dapat memberi kegembiraan kepada penduduk.

“Kita akan bantu semampunya bagi meringankan bebanan yang dihadapi penduduk di kampung ini,” katanya.

Dalam program tersebut seramai 50 orang menerima sumbangan yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam dalam kalangan penduduk sekitar kampung Mukandot.

Menurut ketua kampung, Johnnari Safari, sudah lebih 36 tahun penduduk di situ tidak menikmati apa-apa kemudahan penting iaitu air dan elektrik.

“Kami memohon bantuan diberi perhatian agar keturunan kami nanti dapat menikmati kemudahan asas yang diperlukan,” ujarnya.

Kepada mereka yang ingin memberikan sumbangan bagi membantu Misi Kebajikan PAS Kalabakan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 1002 5010 053802 dengan menyatakan Misi Kebajikan Paskal. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -