Menjemaahkan diri dalam jemaah

- Advertisement -

BILA berjemaah sudah pasti sangat jauh bezanya jika kita bersendirian. Lebih jauh berbanding seorang yang bujang tiba-tiba berkeluarga.

- Advertisement -

Dalam berjemaah kita terpaksa;

1. Lebih banyak memendam rasa.

Bila berjemaah sudah tentu banyak ragam manusia yang kita temui. Ada teman yang cari kita bila beliau susah dan memerlukan sokongan. Tapi saat kita memerlukannya, dia entah di mana. Saat susah kita bersama tapi saat senang kita tak diingati. Akhirnya remuk hati terpaksa dipendam sendiri. Sabar, jangan mengeluh dan jangan bersusah hati. Jangan viralkan keburukan sikapnya nanti orang-orang jahil akan menyerang jemaah.

2. Lebih banyak merawat hati sendiri.

Keragaman manusia dalam jemaah akan menyebabkan hati kita akan sakit berkali-kali. Tiada siapa yang akan merawatnya kecuali kita sendiri. Lalu banyakkan zikir dan baca al-Quran. Mohon kepada Allah agar kita dapat melupakan kesalahan orang terhadap kita.

3. Perlu lebih sabar dan berhati-hati.

Sabarlah dalam berjemaah. Jangan mahu jemaah ikut kita bahkan kita yang perlu ikut jemaah. Mungkin jemaah dirasakan laju, maka bersabarlah mengejar jemaah. Juga mungkin dirasakan jemaah terlalu perlahan, maka bersabarlah menunggunya.

4. Perlu utamakan jemaah dari diri sendiri.

Kita tentu ada pandangan sendiri yang berbeza dengan jemaah. Kita ada langkah sendiri yang berlainan dengan jemaah. Lalu pastikan kita bersama jemaah. Bila berjemaah jangan keras kepala, jangan keras hati dan jangan keras adab.

 5. Perlu tahu membezakan benar dan salah dalam menerima berita.

Jangan mudah menghukum jemaah atau individu dalam jemaah hanya kerana semua berita. Tabayyun lah. Bertenang dan cari kebenarannya. Orang yang bersikap gopoh dan pentingkan pandangan sendiri tidak layak berada dalam jemaah apa pun.

6. Perlu lebih kenal siapa kawan dan siapa lawan.

Berjemaah perlu kenal kawan dan lawan. Cara kita layan kawan berbeza dengan kita layan lawan. Jangan sampai kita berdepan dengan kawan macam kita berdepan dengan lawan. Begitu juga jangan lunak dengan lawan macam kita lunak dengan kawan.

7. Perlu lebih berakhlak dan tawadhuk.

Berada dalam jemaah bermakna kita berada di tengah-tengah khalayak. Kita dipandang dan diperhatikan. Oleh itu jaga adab dan akhlak. Perangai panas baran tak sesuai berkawan dengan orang apatah lagi jemaah. Ilmu tidak cukup untuk menjadi bekalan perjuangan jika tanpa adab. Ramai orang berilmu tapi tiada siapa yang tahan berkawan dengannya. Kerana adab yang buruk. Tapi betapa ramai seseorang yang disegani dan dihormati walaupun kurang ilmunya disebabkan akhlak. Perjuangan ini bukan soal betapa kuat kita bertempik atau betapa mendalam sayangnya kita kepada jemaah tapi ialah soal sejauh mana kita mempertahankan jemaah dengan beradab dan meraikan teman-teman seperjuangan.

8. Perlu faham hakikat berjemaah.

Tiada siapa yang lemah jika berjemaah dan tiada siapa yang kuat jika bersendiri. Lambat laun orang yang bersendiri akan terpencil dan tersisih yang akhirnya akan berpihak kepada musuh, kerana merasakan musuh lebih memahami kehendaknya berbanding jemaah. Tapi sebenarnya tanpa sedar ia sudah disambar oleh syaitan.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100001490058504/posts/4597202767006013/

- Advertisement -