Malaysianisasi galakkan majikan ambil pekerja tempatan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan program Malaysianization (Malaysianisasi) bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata pekerja tempatan layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan melalui program ini.

- Advertisement -

“Sebagai contoh, jika tawaran gaji adalah RM1,500 maka pekerja akan diberi insentif RM500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM2,000.

“Had kelayakan insentif ini telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minimum RM1,500 bagi majikan yang menyertai program ini,” katanya menjawab soalan lisan Senator Nuridah Mohd Salleh di Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, pada tahun 2021 kerajaan telah menambah baik insentif Malaysianization melalui pakej PEMULIH dengan mengurangkan had kelayakan insentif daripada paras gaji RM 1,500 kepada RM1,200.

Katanya, ini bagi mendorong majikan untuk menyertai program ini, terutama majikan dari kategori kecil dan sederhana.

“Dengan pengurangan had kelayakan ini, pekerja yang menerima gaji sebanyak RM1,200 akan turut mendapat manfaat insentif tambahan RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee, ketika membuat kunjungan hormat kepada Menteri Sumber Manusia pada 7 September lalu, memaklumkan mengenai visa pertanian yang diumumkan oleh kerajaan Australia, iaitu Farm Labour Visa Scheme (Skim Visa Buruh Ladang).

Katanya, kerajaan Australia memperkenalkan skim itu untuk menangani kekurangan pekerja sektor pertanian dan perladangan yang kurang mendapat sambutan daripada pekerja tempatan di negara berkenaan.

“Skim ini dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada pekerja imigran untuk bekerja selama tiga tahun dalam sektor perladangan dan pertanian di Australia.

“Australia dan Malaysia menghadapi masalah yang sama, iaitu kekurangan guna tenaga dalam sektor perladangan di negara masing-masing serta kebergantungan yang tinggi terhadap guna tenaga asing dalam sektor tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sektor perladangan melibatkan kerja 3D iaitu Dangerous, Dirty and Difficult (bahaya, kotor dan sukar) menyebabkan ramai pekerja tempatan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut.

Bagaimanapun, katanya pendekatan yang diguna pakai oleh Australia tidak akan diikuti oleh Malaysia kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai penduduk tetap. – HARAKAHDAILY 11/10/21

- Advertisement -