Kerajaan perlu proaktif tangani kes cubaan bunuh diri

- Advertisement -

SAYA ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Kesihatan II, Dato’ Aaron Ago Dagang di atas jawapan kepada soalan saya dalam sesi jawapan lisan bagi pertanyaan-pertanyaan di Parlimen pada 07 Oktober 2021. Saya mengajukan soalan berkenaan langkah-langkah dan strategi jangka panjang kerajaan bagi menangani kes cubaan bunuh diri yang semakin meruncing lebih-lebih lagi kesan pandemik COVID-19.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan untuk tempoh tujuh bulan tahun ini bermula Januari hingga Julai 2021. Peningkatan yang menjangkau hampir 60 peratus berbanding jumlah kes pada tahun 2020 untuk tempoh yang sama mendatangkan kebimbangan kepada semua pihak. 

- Advertisement -

Saya berpandangan bahawa pihak kerajaan perlu lebih proaktif dalam usaha menangani kes cubaan bunuh diri di negara ini. Lebih-lebih lagi dalam tempoh pasca pandemik ini, saya yakin jumlah rakyat yang terkesan dari aspek kesihatan mental adalah lebih ramai sebenarnya daripada yang direkodkan. 

Saya menyambut baik segala inisiatif dan pelan tindakan yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu tingkah laku bunuh diri iaitu perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial dan advokasi kempen ‘Let’s TALK Minda Sihat’, selain mempergiat sesi libat urus dengan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan. 

Selari dengan pandangan pihak Kementerian Kesihatan, saya berpendapat bahawa pindaan atau pemansuhan Akta 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah, wajar disokong oleh semua pihak dan usaha-usaha ke arah menyegerakan pindaan akta tersebut perlu dipergiat dengan lebih agresif dan proaktif. Hal ini kerana, seseorang yang mempunyai tingkah laku bunuh diri kebiasaannya mempunyai masalah kesihatan mental terjejas yang memerlukan rawatan dan intervensi kesihatan mental yang betul.

Sebagai penutup, saya ingin menyeru ahli masyarakat untuk membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu yang menghadapi masalah mental dengan mengelakkan perbuatan menghakimi kejadian melibatkan tingkah laku bunuh diri yang berlaku. Sebaliknya, setiap ahli dalam komuniti terbabit perlu terus mengekalkan hubungan dan memberi sokongan sosial terhadap pihak-pihak terlibat, lebih-lebih pasca krisis COVID-19 ini. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -