Kerajaan luluskan RM16 bilion kepada PKS

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan sebanyak RM16 bilion bagi kemudahan pembiayaan melibatkan 37,959 akaun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi tempoh 6 Mac 2020 hingga 28 Julai lalu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata kadar kelulusan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan permohonan diterima membabitkan program pinjaman perniagaan diberikan kepada akaun PKS yang layak.

- Advertisement -

Menurutnya, kadar peratusan tertinggi diluluskan melalui peruntukan bagi Kemudahan Agromakanan bernilai RM1.398 bilion atau 91.9 peratus kepada 1,868 pemegang akaun PKS.

Katanya, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar diperuntukkan RM3.2 bilion atau 83 peratus kepada 12,207 akaun PKS.

“Sebanyak RM389 juta diluluskan kepada 338 akaun PKS bagi Kemudahan Automasi dan Digital dengan kadar kelulusan 82.4 peratus.

“Selain itu, sebanyak 47 akaun PKS menerima peruntukan berjumlah RM68 juta atau 82.4 peratus bagi Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional,” katanya menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Yamani Hafez berkata, di samping itu, RM10 bilion diluluskan bagi Kemudahan Bantuan Khas kepada lebih 21,000 akaun PKS dengan kadar kelulusan 78.1 peratus.

Katanya, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi juga diperuntukkan RM954 juta atau 77.7 peratus kepada 2,103 akaun PKS.

Selain itu, katanya peruntukan RM67 juta diluluskan kepada 336 akaun PKS membabitkan Pembiayaan Pelancongan PENJANA dengan kadar kelulusan 63.5 peratus.

Sementara itu, katanya kerajaan menolak permohonan pembiayaan PKS berdasarkan tiga sebab utama, iaitu aliran tunai yang tidak mencukupi, perniagaan tidak berdaya maju, dan tahap keberhutangan yang tinggi. – HARAKAHDAILY 11/10/21

- Advertisement -