Akta Pendidikan peruntukkan BM bahasa pengantar utama

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 melalui strategi pemerkasaan Bahasa Melayu (BM) dalam usaha memastikan murid menguasai bahasa kebangsaan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Dato’ Mohamad Alamin, berkata semua institusi pendidikan perlu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pendidikan 1996.

- Advertisement -

“Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan masih mengekalkan dasar sedia ada berdasarkan Seksyen 17 (1) memperuntukkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya pengecualian diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada Menteri daripada subseksyen ini.

Katanya, Ini termasuklah institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM  digalakkan untuk melaksanakan strategi pemerkasaan bahasa Melayu dalam pelan hala tuju tersebut.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya sejauh mana perancangan KPM dalam meneruskan usaha untuk melaksanakan hanya satu aliran sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan bagi memastikan tiada lagi masyarakat di dalam negara yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Bagaimanapun menurut Mohamad, walaupun terdapat pelbagai aliran sekolah iaitu SJKC dan SJKT, murid-murid di sekolah aliran ini masih dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Oleh itu, katanya tahap penguasaan Bahasa Melayu sebenarnya bergantung kepada sikap terhadap amalan penggunaan bahasa berkenaan.

“Contohnya, di luar sana ramai yang mampu berbahasa Melayu walaupun mereka berbangsa Tionghua ataupun berbangsa India.

“Ada beberapa Yang Berhormat sangat fasih berbahasa Melayu, contohnya Yang Berhormat Ayer Hitam, Menteri Pengangkutan yang cukup baik bahasa Melayunya, kalah dengan saya. Sama juga dengan Timbalan Menteri Pendidikan yang cukup fasih dalam bahasa Melayu,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/10/21

- Advertisement -