70 tahun perjuangan PAS: Mempersada pendidikan di Malaysia (Siri II)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PAS dan kepimpinannya yang awal banyak berlegar di sekitar isu pendidikan, ini berkemungkinan kerana parti itu belum didaftarkan sebagai parti politik dan tidak disibukkan dengan urusan pilihan raya yang melibatkan komitmen dan gerak Kerja yang rencam.

Dengan latar belakang darurat yang mengekang dan membataskan pergerakan politik juga adalah faktor mengapa perjuangan PAS lebih terarah kepada bidang pendidikan.

- Advertisement -

Selain itu, latar belakang tokoh-tokoh awal PAS juga memungkinkan mengapa mereka memberikan perhatian yang besar terhadap bidang ini yang mampu memperkenalkan PAS kepada masyarakat Melayu.

Mesyuarat Agong PAS pada tahun 1953 telah mendesak supaya PAS mengadakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama bagi membantu membangunkan pendidikan Islam.

PAS juga telah berjaya mendesak kerajaan supaya memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama agar setanding dengan sekolah-sekolah yang lain.

Sumbangan PAS dalam bidang pendidikan semakin berkesan apabila berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya tahun 1959 .

PAS telah menyertai pilihan raya pertama negara ini pada tahun 1955 dengan bertanding di 11 kawasan parlimen dan hanya menang di kawasan krian Perak.

PAS dalam pilihan raya umum pada tahun 1955 telah menawarkan janji kepada rakyat negara ini dalam bidang pendidikan dan pelajaran. Dalam manifesto PAS dalam Pilihanraya tersebut telah menyebut antaranya:

  1. Mengambil langkah supaya tiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan
  2. Pelajaran agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam
  3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan seberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi
  4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara
  5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran

PAS semenjak awal telah menyusun usaha untuk memastikan pendidikan diberikan keutamaan oleh parti tersebut terutama tanggungjawab mereka untuk mengimbangi persaingan kuasa dengan UMNO.

UMNO dalam dekad 1950an kelihatan sangat gagah kerana mereka dipimpin oleh golongan bangsawan Melayu yang berpendidikan Inggeris.

PAS semenjak awal penubuhannya, merasakan mereka terpaksa bersaing dengan pemerintah untuk memajukan pendidikan dan merasakan sumbangan itu adalah untuk membina bangsa ke arah kemuliaan dan berdiri sebagai bangsa yang kuat di tanah air ini.

Pada akhir tahun 1959 kerajaan PAS Kelantan telah melantik guru-guru agama dan dibayar gaji oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Mohd Amin Yaakob (2001) dalam tahun 1959 kerajaan Kelantan telah menubuhkan Biasiswa Pelajaran Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar miskin dan diikuti dengan penubuhan Jamaah Biasiswa Pelajaran agama pada tahun 1961 dan Jamaah Biasiswa Pelajaran Rendah.

PAS menyertai pilihanraya pada tahun 1964 dan telah berjaya mengekalkan kemenangan di Kelantan, antara manifesto PAS dalam pilihanraya Kelantan pada tahun 1964 ialah ingin melaksanakan projek penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam (YPTIK), Nilam Puri.

Projek pendidikan PAS Kelantan ini telah berjaya direalisasikan, YPTIK akhirnya telah berkembang sesuai dengan matlamat penubuhannya dan sepanjang beberapa dekad beroperasi telah melahirkan ribuan ilmuan di bidang pengajian Islam yang akhirnya telah memberikan sumbang bakti ke seluruh negara.

Kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS juga merangka plan masa depan yang lebih konkrit dalam membangunkan pendidikan Islam, antaranya dengan cara mengeluarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar kurang berupaya untuk terus mendapatkan ilmu.

Pada tahun 1968 Kerajaan Kelantan telah mengambil alih Biasiswa Zulkifli Mohamad dan dikenali sebagai Kumpulan Wang Biasiwa Zulkifli, sebelum diserap ke dalam Yayasan Kelantan pada tahun 1974.

PAS juga telah mengambil bahagian dalam membahaskan persoalan dasar pelajaran negara. Dasar pelajaran yang dibentuk adalah berasaskan kepada Penyata atau laporan pelajaran yang disediakan oleh Tun Abdul Razak.

BERSAMBUNG…..

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -