70 tahun perjuangan PAS: Memperkasa ruang demokrasi pendidikan Malaysia (Siri I)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PENDIDIKAN yang dianjurkan oleh PAS dan pengajian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara ini.

Oleh kerana PAS merupakan sebuah parti yang berpegang kepada dasar Islam, menjadikan al Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan memperjuangkan cita-cita untuk menegakkan Islam, maka konsep Falsafah Pendidikan Islam juga perlu ditinjau dalam memahami peranan dan usaha-usaha PAS.

Kedudukan Islam sebagai dasar perjuangan PAS telah mempengaruhi sepenuhnya pemahaman dan pemikiran PAS tentang konsep pendidikan yang dipersembahkan kepada rakyat negara ini.

Hal ini selaras dengan tujuan PAS yang disebut dalam Fasal 6(2) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2001 yang menegaskan salah satu tujuannya ialah:

- Advertisement -

“Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.”

PAS telah merangka dan merancakkan pendidikan sebagai wahana untuk mengembangkan pengaruh terhadap masyarakat diluar kelompok parti itu serta obligasi sosialnya dalam usaha memenuhi perlembagaan parti itu sendiri.

Ianya juga akibat keperluan parti itu untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak ahli parti kerana sentiasa didesak untuk mewujudkan institusi pendidikan oleh ahli-ahli disemua peringkat.

PAS menganggap menyediakan pendidikan Islam kepada rakyat merupakan tuntutan fardhu kifayah dan sebahagian tuntutan beragama yang mesti dipenuhi, terutama PAS sebagai gerakan Islam dan juga sebagai pertubuhan siasah di negara ini.

Boleh dibuktikan dengan kajian ini pertambahan institusi pendidikan PAS telah meningkat dan berlaku setiap tahun. Bermula daripada prasekolah sehinggalah peringkat kolej universiti.

Pengkaji mendapati organisasi PAS telah terlibat dalam merangka kurikulum dan memantau perkembangan institusi pendidikan dalam PAS seperti Majlis Pendidikan, PASTI, Majlis DAR, Muasasah Pendidikan, Lujnah Pendidikan dan sebagainya.

PAS telah menyusun dan sentiasa mengambil langkah memperkemaskan usaha-usaha parti tersebut untuk membangunkan institusi pendidikan di bawah seliaanya dan juga merespon isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan dalam negara ini.

Untuk merealisasikan misi dan visi yang holistik ini, PAS telah mewujudkan ruang untuk anak-anak ahlinya serta masyarakat untuk menimba ilmu daripada institusi pendidikan yang diwujudkan bermula daripada PASTI sehinggalah kepada Kolej Universiti.

PAS menjalankan usahanya secara berterusan untuk membina, menggerak dan menjalankan programnya dalam bidang pendidikan.

PAS juga meletakkan tanggungjawab parti itu dalam bidang pendidikan dan diberikan penegasan dalam setiap kali muktamar tahunan parti tersebut.

Keterlibatan mereka dalam bidang pendidikan dilihat sebagai tuntutan fardhu Kifayah, bagi memenuhi tuntutan agama Islam.

Apatah lagi parti itu merasakan bahawa usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak mencukupi untuk membentuk masyarakat dan generasi muda yang memahami Islam secara komprehensif.

Sekurangnya melalui institusi pendidikan yang ditawarkan oleh PAS membuka luas pendemokrasian pendidikan di negara kita, yang sangat terbatas sekolah-sekolah agama.

Lantaran itu PAS mengambil langkah yang sistematik dan berperingkat bagi menyediakan kegiatan pendidikannya bermula dengan prasekolah, sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam, sehinggalah ke kolej Universiti.

Dengan erti kata lain PAS menggerakkan pendidikan secara formal dan tidak formal, bersijil dan tidak bersijil.

PAS juga telah menyediakan satu rantaian pendidikan yang juga memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain.

Lulusan daripada pusat pendidikan PAS yang sebahagiannya menggunakan peperiksaan awam negara ini, ataupun yang tidak menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh kementerian seperti Maahad Darul Quran Rusila akhirnya turut menyumbang kepada pembangunan negara apabila lepasan pendidikan ini berkhidmat di sektor awam atau pun sektor swasta.

Maknanya, lulusan daripada institusi pendidikan PAS turut menyumbang untuk membina negara dan saling melengkapi bagi menampung kekurangan sistem pendidikan negara ini, terutama melahirkan ramai pelajar pengajian Islam.

Inilah perubahan dan transformasi yang dijalankan oleh PAS dalam menggerakkan sumbangan terhadap pendidikan negara ini, sesuatu yang berharga dalam membina peradaban bangsa.

Dalam usaha PAS yang paling serius untuk menggerakkan pendidikan maka parti itu telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS, sebuah majlis yang bertindak untuk memantau dan mengelola pendidikan yang bersangkutan dengan PAS.

PAS berjaya membawa nilai-nilai yang diinginkan oleh PAS atau yang berjalan dengan Falsafah Pendidikan Islam dan juga selaras dengan hendak Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Massa merasakan kehadiran PAS dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan, atau massa dapat menikmati usaha PAS dan institusi pendidikannya menjadi agen perubahan daripada nilai yang sedia ada kepada nilai-nilai Islam yang dinuansakan oleh PAS.

Selepas Perang Dunia Kedua barulah muncul gerakan sosio politik seperti MATA, LEPIR, Hizbul Muslimin yang mula-mula membicarakan soal pendidikan Islam dan orang Melayu secara serius. PAS yang muncul pada tahun 1951, antara lain memperjuangkan isu pendidikan Islam dan juga orang Melayu di negara ini.

PAS sebagai sebuah pertubuhan siasah orang Melayu dan Islam di negara ini juga menterjemahkan tanggungjawab mereka dalam menggerakkan bidang pendidikan sebagai obligasi sosial.

Sumbangan awal PAS dalam bidang pendidikan di negara ini merakamkan inisiatif Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama, Sheikh Abdullah Fahim telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Sekolah Agama Rakyat di Madrasah Daeratul Maarif Al Wathaniyah, Kepala Batas pada 22 Mei 1952 manakala ada 25 Mei 1952, PAS telah menubuhkan satu badan pendidikan yang dinamakan sebagai “Pembangunan Pelajaran Persatuan Islam SeMalaya” dengan matlamat untuk menyatukan sekolah-sekolah agama di negara ini.

BERSAMBUNG…

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -