Rentas negeri: Pemimpin ingatkan rakyat terus patuhi SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memandangkan perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula esok, orang ramai digesa agar tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dalam ciapan di Twitter beliau baru-baru ini berkata perkara paling utama dalam usaha menentang Covid-19 bermula dengan seseorang individu itu sendiri.

- Advertisement -

“Terus patuhi semua langkah pencegahan #TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum dan Dapatkan) dan SOP sedia ada. Menerusi #ReopeningSafely, marilah kita terus berwaspada,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba pula menasihati orang ramai agar tidak cepat berpuas hati dan terus mematuhi SOP.

“Syukur Alhamdulillah dan tahniah Keluarga Malaysia kerana 90 peratus populasi dewasa telah lengkap vaksinasi dan boleh rentas negeri mulai esok. Dalam masa yang sama, kita jangan sesekali berpuas hati dan patuhilah SOP setiap kali. Kita jaga kita!,” katanya menerusi ciapan di akaun twitter rasmi beliau.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menerusi ciapan di twitter, turut mengucapkan tahniah kepada Keluarga Malaysia serta petugas barisan hadapan atas berita gembira itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata susulan kadar vaksinasi yang sudah mencapai 90 peratus dan sepertimana janji kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kebenaran bagi rentas negeri mulai esok.

“Selain itu, permohonan MyTravelPass bagi perjalanan ke luar negara juga kini tidak lagi diperlukan. Namun pengembara tetap perlu menjalani kuarantin wajib sejurus pulang dari luar negara.

“Apa-apapun, kita semua perlu berganding bahu dan tidak sesekali leka. Sentiasa patuh SOP dan bersama jaga kesihatan serta keselamatan diri,” menurutnya dalam catatan di Facebook.

Bagi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan tidak bermakna pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan sebaliknya perlu menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Berkenaan sama ada PRN Melaka akan diadakan atau tidak, kita tunggu keputusan Agong. Biar Baginda yang membuat keputusan sama ada ia akan diadakan atau tidak, Kabinet akan akur.

“Kebenaran rentas negeri tidak bermakna PRN akan diadakan di Melaka kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah keselamatan dan kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor hari ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menasihati rakyat agar mematuhi saranan kerajaan iaitu sentiasa menjaga SOP dan melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mereka yang bergejala, seeloknya tangguhkan dahulu sehingga anda benar-benar sembuh daripada sebarang simptom. Pastikan kita bebas jangkitan. Kita telah berkorban begitu lama maka tidak rugi bersabar untuk seketika lagi sebelum kita benar-benar selamat untuk ayah, ibu, suami, isteri, adik-beradik dan rakan taulan di kampung.

“Marilah kita bersikap bertanggungjawab dalam perkara penting ini. Jangan kerana keseronokan yang singkat, tetapi penyesalannya tidak berkesudahan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -