BACHOK: PAS berusaha menjadikan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) sebagai model perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi menyumbang kestabilan politik di negara ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia dapat mengikis sifat kebencian rakyat terhadap orang politik yang cenderung kepada perpecahan.
Sehubungan katanya PAS akan bertindak menjadi orang tengah untuk mendamaikan kemelut antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Umno supaya tidak bertanding secara berasingan pada pilihan raya itu.
“Langkah tersebut bersesuaian dengan kehendak Islam yang mahu umatnya bersatu dalam apa jua keadaan.
“Tiada satu ayat pun dalam Al-Quran dan hadis Nabi yang membenarkan umat Islam bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh melemah dan menghancurkan umat Islam itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke tapak Asuhan Ikan SB Aqua Marine dan Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat Pulau Kambing di sini, hari ini.
Dun Melaka dibubarkan pada 4 Oktober empat Adun kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Dr Nik Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, berkata, jika keadaan itu berterusan bukan sahaja kedudukan kerajaan berada dalam terumbang ambing, bahkan kehidupan rakyat akan menderita.
Beliau yakin kedua-dua parti yang ditunjangi orang Melayu Islam itu akan berdamai di bawah satu panji-panji Perikanan Nasional (PN) untuk mencapai kemenangan besar pada PRN kelak. – HARAKAHDAILY 10/10/2021