Warga Kelantan di perantauan belum vaksinasi dinasihat tangguh kepulangan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Warga Kelantan di perantauan yang belum lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dinasihatkan supaya menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung halaman sekiranya kerajaan membenarkan rentas negeri dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Ahmad Yakob berkata, walaupun rindu untuk bertemu  ibu bapa atau saudara mara, namun apa yang penting lengkapkan  dahulu dua dos suntikan vaksin.

- Advertisement -

Menurutnya, cadangan itu dibuat supaya tidak memberi risiko kepada anggota keluarga atau menyebar wabak kepada mereka yang berpenyakit khususnya sakit kronik. 

Katanya, rakyat Kelantan yang berada di perantauan juga disarankan  melakukan ujian air liur melalui kit ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak itu.

“Sekiranya bergejala, saya memohon supaya mereka jangan balik dulu dan bertenang seketika serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Timbalannya, Zuraidin Abdullah. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah disebabkan ramai individu berada di luar tetapi beralamat di Kelantan. 

Tambahnya, besar kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

“Jadi, ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak secepat negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2021

- Advertisement -