Penubuhan RCI tidak jejas operasi Tabung Haji

KOTA BHARU: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sama sekali tidak akan menjejaskan pengurusan operasi institusi Lembaga Tabung Haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Advertisement

Malah beliau berkata, pihak kementerian juga kini sedang menyusun serta merangka beberapa startegi untuk memantapkan pengurusan institusi berkenaan.

Namun begitu, Marzuk berkata kepercayaan serta sokongan pendeposit kepada Tabung Haji sebagai institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji itu kini semakin baik berbanding sebelum ini.

“Kalau dulu berlaku ramai orang buat keluar duit dari Tabung Haji apabila ada dakwaan tertentu berkenaan dengan penyelewengan dan sebagainya.

“Tetapi, perkara ini sudah pulih kembali dan sekarang ini pendeposit Tabung Haji sudah ada lebih 9 juta dan ini merupakan pertambahan yang sangat baik.

“Malah, keadaan ini juga memberi gambaran bahawa keyakinan mereka kepada agensi ini sebagai institusi ulung yang bukan sahaja soal persiaoan mengejarkan haji namun sebagai salah satu platform khusus buat orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerja program outreach rakan setia komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

Marzuk berkata, pihaknya kini juga dalam proses untuk menyediakan kertas kerja dan terma terkini berkaitan dengan RCI bagi memastikan siapa yang akan terlibat bagi menganggotai yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Siapa yang akan menganggotai dan terma dia apa segala rujukan berkaitan dengan RCI akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat

“Malah, secara dasarnya kementerian telah bersetuju untuk ditubuhkan siasatan RCI berkaitan dengan Tabung Haji untuk menyiasat perkara berkaitan dengan dakwaan isu-isu berbangkit dari tahun 2014 hingga tahun 2020,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun katanya, terma yang bakal diumumkan itu masih lagi dalam penelitian dan kelulusan kabinet.

Justeru itu, pihak kementerian akan sedaya upaya memastikan institusi Lembaga Tabung Haji akan kekal berdaya saing selain memastikan ia terus kekal utuh sebagai sebuah institusi yang disegani.

“Oleh itu, kita berharap orang ramai agar terus mempercayai institusi ini supaya ia dapat kembali berkembang dan kekal memberi manfaat buat orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2021