GENGGAM Selangor bantu rakyat terkesan Covid-19

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Program Gelombang Sejahtera Keluarga Malaysia (GENGGAM) Selangor merupakan inisiatif PAS Selangor untuk terus menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, program itu bagi menyahut inisiatif konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, semua pihak tanpa mengira kaum dan agama perlu bersatu hati dan mengenepikan sebarang perbezaan dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula negara ini sebagaimana peribahasa yang diungkap Ismail Sabri semalam, ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’.

- Advertisement -

Tambahnya, PAS Selangor menyeru agar rakyat bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia khususnya Selangor yang demografinya bersifat mini Malaysia ini.

“Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza.

“Genggam erat perpaduan dan jadilah agen pendamai dalam merungkai semua bentuk pertelingkahan, bukannya menyemarakkan perselisihan.

“Tiada siapa yang untung dengan pertelingkahan yang berlaku,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, ujarnya PAS Selangor menyeru untuk semua pihak berganding bahu dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan Malaysia dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk mengeluarkan negara dari pandemik.

“Sesungguhnya usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan hari ini memerlukan kebersamaan dan kerjasama yang tinggi dari seluruh anggota Keluarga Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, PAS Selangor menyatakan komitmen untuk sama-sama menjayakan PPN dan membantu rakyat yang terkesan dengan menggerakkan sepenuhnya NGO Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia.

“Sehingga kini, jutaan ringgit hasil sumbangan badan korporat dan masyarakat telah dimanfaatkan untuk membantu ratusan ribu penduduk seluruh negeri Selangor yang terjejas.

“Ini tidak termasuk dengan sumbangan keperluan kesihatan seperti pakaian perlindungan diri (PPE), peralatan kesihatan kepada hospital dan pastinya sukarelawan yang memberikan bantuan di pusat vaksin,” katanya.

Menurutnya, program itu dijalankan di kesemua 22 parlimen seluruh negeri Selangor yang bermula di Parlimen Hulu Langat, hari ini.

“Pelbagai program diatur seperti ziarah medik, ziarah dan bantuan kebajikan kepada B40 termasuk orang asal, day 4 charity (gotong royong amal), santai anak muda bersama selebriti, e-sport dan sebagainya.

“Program kemuncak pada 13 Nov 2021, yang dijangka disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad,” ujar beliau.

Justeru, PAS Selangor mengharapkan semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga memperkukuhkan perpaduan ummah dan membangunkan negeri Selangor dalam konteks keluarga Malaysia selari dengan tuntuan agama. – HARAKAHDAILY 9/10/2021

- Advertisement -