Vaksin menuju 90 peratus populasi dewasa

- Advertisement -

Pendirian Dewan Ulamak PAS Perak dan tanggungjawab sosial masyarakat

VAKSIN merupakan salah satu kaedah untuk kita mengawal pandemik ini dan antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada COVID-19. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggariskan dasar dan strategi perolehan bekalan vaksin, pelaksanaan pemberian dan pemantauan bagi membendung pandemik COVID-19 di dalam negara.

Laporan kumulatif vaksinasi mengikut negeri setakat 7 Oktober adalah sebanyak 89.1 peratus atau 21,004,275 populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin COVID-19. Perkembangan itu menyaksikan berbaki 0.9 peratus bagi mencapai 90 peratus sejajar janji kerajaan membuka semula kelonggaran rentas negeri yang disekat sejak Januari lalu.

- Advertisement -

Dewan Ulamak PAS Perak berpendirian bahwa pihak berkuasa memiliki hak berdasarkan tuntutan Siyasah al-Syar’iyyah untuk menggalakkan program imunisasi ke atas rakyat yang berada di bawah wilayah kekuasaannya. Ini berdasarkan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَة

Maksudnya: “Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 121)  

Kaedah ini berasal daripada kenyataan Imam Syafie yang menyebut:

مَنْزِلَةُ الإِمَامِ مِنَ الرَّعِيَّةِ مَنْزِلَةُ الوَلِيِّ مِنَ اليَتِيمِ

Maksudnya: “Kedudukan imam atau pemerintah dengan rakyatnya sama seperti kedudukan penjaga anak yatim terhadap anak yatim.”

Syeikh Muhammad al-Burnu berkata: “Makna kaedah fiqhiyyah ini bahawa hak pelaksanaan pemerintah terhadap rakyat dan apa yang mereka wajibkan ke atas rakyat sama ada mahu atau enggan tertakluk kepada hasil dan manfaat, sama ada berkaitan agama atau dunia.” (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 2/57)

Pengambilan vaksin termasuk salah satu daripada rawatan pencegahan.

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Pengambilan vaksin memenuhi Maqasid Syari’ah. Ini kerana, dalam Islam, hifz al-nafs (penjagaan nyawa) termasuk dalam perkara yang dituntut.

Selain itu, beberapa syubhat yang ditimbulkan telah dijawab tuntas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam dokumen-dokumen berikut:
FAQ Vaksin & Imunisasi Daripada Aspek Syarak Dan Perubatan
Soalan Lazim Mengenai Vaksin dan Imunisasi

Melihat kepada kesan negatif daripada gerakan anti-vaksin mutakhir ini, Jika sebelum ini media sosial menjadi platform penyebaran agenda mereka, kini kelompok itu beralih ke saluran lain yang dilihat lebih berkuasa iaitu mahkamah. Apabila kerajaan melaksanakan langkah lebih tegas dengan mewajibkan vaksinasi sebagai syarat pekerjaan, ada antara penentang vaksin ini memetik peruntukan perlembagaan negara bahawa tindakan itu mencabul hak asasi mereka, iaitu kebebasan memutuskan hal-hal berkaitan perubatan mereka.

Dewan Ulamak PAS Perak juga bersetuju dengan pendapat Prof Dr Haidar Dziyauddin, Pakar Perundangan menyatakan Bahagian IV, Seksyen 11 (3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memperuntukkan pihak berkuasa kesihatan mempunyai kuasa mengawal penularan penyakit menerusi imunisasi di ‘kawasan tempatan yang dijangkiti’.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih baik jika kerajaan meluluskan undang-undang khusus mewajibkan penerimaan vaksin memandangkan takrifan terhadap undang-undang sedia ada terlalu luas.

Menurutnya, selagi Malaysia tidak menguatkuasakan undang-undang khusus mewajibkan vaksinasi bagi keadaan-keadaan tertentu, kerajaan harus bersedia menghadapi lebih banyak tindakan perundangan mencabar keputusan itu.

Oleh itu, semua pihak perlu sedar bahawa kita tinggal dalam sebuah masyarakat, dan situasi ini menuntut kita bertindak dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap komuniti.

Kita ada hak untuk memilih. Jika kita memilih untuk tidak divaksinasi, maka perlu faham bahawa kita bukan hidup bersendirian, malah tinggal bersama orang lain. Aktiviti berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain akan dibuat secara rutin harian. Maka, fikir-fikirkan lah.

COVID-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, iaitu kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia sebagaimana selesema. mahu tidak mahu, perkara itu berkemungkinan besar menjadi hakikat yang perlu diterima rakyat Malaysia. Persoalannya, bersediakah kita untuk ‘hidup bersama’?

Semoga pengorbanan tinggi petugas barisan hadapan dan komitmen seluruh rakyat Malaysia akan membuahkan hasil yang dinanti-nantikan iaitu Kembali normal hidup sedia kala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

USTAZ IBRAHIM ZAKARIA
Ketua Dewan Ulamak PAS Perak
1 Rabi’ul Awwal 1443 – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -