RMK12 dilulus, sidang Dewan Rakyat berbaki dua hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Minggu keempat Dewan Rakyat menyaksikan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), rancangan lima tahun baharu negara dilulus selepas empat hari dibahas dan melalui sesi penggulungan 27 kementerian.

Sebanyak 106 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia bagi tempoh 2021-2025 itu selepas dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept.

- Advertisement -

Sejak Selasa lepas persidangan Dewan diisi penuh dengan sesi penggulungan oleh kesemua kementerian bagi menjawab perkara-perkara dibangkitkan Ahli Parlimen ketika membahaskan usul RMK12 itu.

Antara yang menarik adalah mengenai masa depan negara dalam pembangunan vaksin apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba memberi keyakinan bahawa Malaysia boleh menjadi negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Sebagai permulaan, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata sebuah pusat vaksin negara akan ditubuhkan iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Persidangan Dewan Rakyat turut dimaklumkan mengenai akta warga emas dan kajian ke arah penggubalannya telah siap, sebagai persediaan Malaysia menjadi negara tua menjelang 2030.

Akta itu bertujuan melindungi hak dan kebajikan golongan warga emas dari segi penjagaan, perlindungan, pemerkasaan dan sokongan merangkumi institusi keluarga dan komuniti.

Isu-isu berkaitan pandemik Covid-19 juga masih menjadi perhatian dan antara lain dimaklumkan bahawa Surat Setuju Terima telah dikeluarkan kerajaan kepada tiga syarikat pembekal kit ujian saringan kendiri Covid-19 untuk sekolah pada 13 Sept lepas dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM9.72 juta.

Penghantaran kit ujian saringan kendiri Covid-19 itu disempurnakan semua syarikat ke 140 Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara pada 25 Sept untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober hingga Disember 2021.

Ahli-ahli Parlimen turut dimaklumkan bahawa kerajaan tiada masalah membenarkan syarikat swasta menawarkan perkhidmatan Internet dan telekomunikasi melalui teknologi satelit dengan syarat ia ditawar pada harga berpatutan kepada rakyat.

Secara keseluruhan, suhu Dewan Rakyat minggu ini tenang, cuma ada ketika sedikit kecoh antaranya ketika beberapa Ahli Parlimen mempersoal Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kedudukan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang masih dijemput sebagai Timbalan Speaker sementara.

Isu itu timbul apabila Azalina yang meletak jawatan Timbalan Speaker pada 23 Ogos, dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia), dan Azhar menjelaskan bahawa perkara itu bukan satu isu kerana pelantikan Azalina bukan bertaraf menteri dan bukan menjadi sebahagian pihak pentadbiran atau kerajaan.

Isu sama turut mencuri tumpuan minggu ini apabila Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang dicalon menggantikan Azalina, mengumumkan menarik diri.

Isu-isu di luar Parlimen turut mendapat perhatian Ahli Parlimen termasuk pendedahan Pandora Papers dan krisis politik di Melaka.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 turut dibentang untuk bacaan kali pertama minggu ini.

Menurut Takwim, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas yang ditangguhkan hingga Isnin ini, hanya berbaki dua hari lagi. – BERNAMA

- Advertisement -