Penumpang KTMB Tumpat-Dabong meningkat 300 peratus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Bermula hari ini orang ramai berpeluang melancong ke Dabong menggunakan tren khas disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Tren Diesel Multiple Unit (DMU) itu boleh memuatkan 416 penumpang berbanding sebelum ini hanya 208 penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya akan menggandakan kapasiti tempat duduk bagi laluan Tumpat-Dabong.

- Advertisement -

Katanya ia berikutan statistik penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu mengalami kenaikan sebanyak 300 peratus bermula September hingga awal Oktober ini.

Menurut beliau set khas tren berkenaan akan digunakan untuk perkhidmatan Shuttle Timuran nombor 55 dan 56 untuk laluan Tumpat ke Dabong dan sebaliknya setiap hujung minggu.

“Ia melibatkan hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum yang akan mula beroperasi 8 Oktober ini,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Menurutnya, penggunaan set DMU bagi menampung permintaan yang tinggi terutamanya pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan am.

Beliau juga berkata, daerah Dabong kini menjadi destinasi kunjungan ramai bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menaiki keretapi.

Kata beliau pihaknya menawarkan pengalaman menarik, selesa dan keselamatan selain harga tiket yang berpatutan.

“Kami juga ingin mengingatkan orang ramai supaya duduk di tempat mengikut nombor yang tertera di tiket masing-masing.

“Ini penting memandangkan timbul rungutan daripada penumpang yang tidak dapat duduk di tempat mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan.

“Penumpang juga dinasihatkan membeli tiket dua hala pergi dan balik serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak daripada kehabisan tiket,” ujarnya.

Dabong terkenal sebagai destinasi tarikan pelancong utama di Kelantan kerana mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara yang terletak di Gunung Stong.

Selain itu Gua Ikan di mana mengalir jernih aliran sungai dalam gua. Di lokasi itu juga disediakan trek bagi pendaki.

Pelancong yang menggunakan perkhidmatan tren dapat melihat keindahan alam semujadi di sepanjang laluan dari Tumpat ke Dabong termasuk Danau Tok Uban dan Pasir Mas dan terowong di Bukit Abu. – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -