Kepimpinan dalam Islam adalah kebertanggungjawaban

- Advertisement -

AL SALLABI dalam Shaksiyyatuhuwa ‘asruhu meriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: 

- Advertisement -

“Kalau ada seekor anak kambing mati kehausan di tebing Sungai Furat (kerana tidak sempat sampai ke sungai untuk minum air), sudah tentu aku takut Allah akan menghisab Umar (sebagai khalifah) kerana hal tersebut.”

Demikian tanggungjawab kepimpinan yang diletak oleh Islam bagi setiap orang yang bergelar pemimpin. Dalam Islam, jawatan atau kedudukan bukanlah ‘tasyrif’ atau kemuliaan tetapi ‘taklif’ atau tanggungjawab yang akan dipersoalkan. Ia bukanlah untuk bermegah, jauh sekali untuk bersenang-lenang atau bermewah-mewah.

Kedudukan hadir bersama tanggungjawab yang amat berat yang akan dihisab di akhirat kelak. Kerana itu, jawatan tidak boleh sesekali diminta, namun apabila diminta (oleh ahli atau masyarakat), tidak boleh pula untuk ditolak.

Dalam konsep kepimpinan Islam, seseorang yang tidak meminta atau berhajatkan jawatan, dia akan dibantu oleh Allah, diberkati akan kerja buat atau usahanya, serta dipermudahkan segala urusannya. 

Salah satu tanda keberkatan itu ialah dengan peluang dan hasil yang melimpah ruah yang jika dibandingkan dengan keupayaan ataupun usaha mungkin tidaklah sekuat mana.

Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya yang ikhlas, bertanggungjawab, tawaduk serta selalu meminta dan merujuk kepada-Nya, bukan yang takbur dan ujub akan kekuasaannya persis Firaun.

Dalam Islam, konsep hubungan bagi setiap individu sama sekali tidak boleh dipisahkan dengan urusan dengan Allah (Hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (Habluminannas).

Atas sebab itu, keseimbangan diri amat penting dalam kepemimpinan Islam. Ia harus dimulakan daripada pembentukan sahsiah diri sendiri, keluarga, jiran tetangga atau komuniti setempat dan membawa kepada tingkat seterusnya. 

Kepimpinan juga tidak harus diambil kira semata-mata daripada aspek fizikal tetapi juga keseimbangan dalam aspek kerohanian yang mencakupi kesedaran kendiri dalam hubungan dengan Allah dan Rasul, orang sekeliling juga alam termasuk haiwan. Tidak harus dikesampingkan juga ialah keseimbangan dalam emosi dan karakter atau pembawakan peribadi.

Jika hal-hal yang seperti ini dilangkau, tidak diambil peduli, jawatan diminta-minta demi laba duniawi semata-mata, inilah yang membawa kepada pelbagai kebejatan dan kebobrokan hingga politik dilihat begitu kotor lagi menjijikkan.

Fahaman Sekular mempengaruhi masyarakat untuk melihat politik atau kepimpinan semata-mata ruang untuk mendapat habuan dunia, bukan untuk memikul tanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat hidup sejahtera dengan mendapat keredaan dan barakah daripada Allah.

Sebagaimana sering dimomokkan, ikan busuk bermula dari kepala. Sekularisme mengajar manusia menjadi tamak haloba. Acuan politik Sekular – matlamat menghalalkan cara – mengajar ahli politik berusaha mendapatkan kedudukan walau dengan apa sahaja cara. Rasuah hatta membunuh sekalipun jadi lumrah dalam amalan politik tanpa iman seperti ini. Apabila naik pemimpin yang rosak melalui jalan yang kotor, ia akan membawa kerosakan kepada seluruh masyarakat. 

Setelah sekian lama, sampai masa untuk sekalian kita bermuhasabah. Bukan sahaja pemimpin, kita rakyat jelata juga tidak terlepas daripada hisab di akhirat. Bagi setiap undi yang kita beri dalam pilihan raya, kita akan ditanya jika undi itu menaikkan pemimpin yang membawa kerosakan di bumi Allah. Kembalillah kepada prinsip Islam dalam memilih pemimpin. 

Pilihlah pemimpin yang tidak mengejar kedudukan untuk bersenang lenang tetapi atas rasa tanggungjawab kepada Allah dan sesama manusia. Pemimpin yang beriman zahir dan batin, insya-Allah akan memenuhi kriteria ini dan paling layak untuk dipilih dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita.

Jika seseorang itu dikira paling layak dengan ilmu, kredibiliti dan integriti dirinya, namun dia menolak hajat orang ramai untuk memimpin mereka, dia juga dikira tidak bertanggungjawab. Sebab itu, Saidina Umar ketika diminta untuk menggantikan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, telah menghunus pedang dengan berkata ‘kalau aku bengkok, luruskan aku dengan pedang dan jika kamu bengkok, aku juga akan meluruskan kamu dengan pedang ini.’

Semasa pemerintahan Saidina Umar, Abu Ubaidah al Jarrah, Gabenor Syam adalah orang yang paling miskin dalam wilayah itu. 

Dalam riwayat di atas, jika kebajikan seekor anak kambing sahaja sudah dikira tanggungjawab pemerintah, apa lagi manusia. Sebab itu dalam PAS, adalah lumrah kita mendengar seseorang yang baru mendapat jawatan, diucap takziah, bukan tahniah. Ini simbolik beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul atas jawatan itu.

Ini juga satu bentuk tarbiah tidak langsung dalam budaya berjamaah PAS (dan juga gerakan-gerakan Islam lain sepertinya di seluruh dunia), yang akan tertanam kukuh dalam minda ahli-ahlinya.

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -