Industri halal rancakkan industri berimpak tinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima tahun akan datang, industri halal merupakan salah satu daripada tumpuan ke arah merancakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Menurutnya, fokus akan diberikan untuk menggalakkan penerimagunaan teknologi termaju, pembaharuan tadbir urus, peningkatan kemahiran bakat, inovasi dan R&D bagi transformasi industri itu kepada yang menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tambah yang tinggi, memperluas pasaran global dan menarik pelaburan berkualiti.

Katanya, pada tahun 2020, Industri halal telah menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

- Advertisement -

Tambahnya, sebanyak 2,225 buah syarikat baharu telah menerima pensijilan halal dan syarikat-syarikat itu telah menyediakan sebanyak 160,337 peluang pekerjaan.

“Antara isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri halal di Malaysia ialah pembangunan industri yang kurang memberangsangkan,” ujarnya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, pemain industri tempatan kekurangan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran halal.

Selain itu, ujar beliau rangkaian perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) halal yang terhad, kurangnya ciri-ciri pemikiran sebagai usahawan global serta penggunaan model perniagaan yang kurang dinamik menghalang usaha untuk meluaskan pasaran.

Beliau berkata, salah satu strategi tersebut ialah meningkatkan daya saing industri halal yang inklusif.

“Strategi ini mengandungi lima tindakan iaitu, meningkatkan pembangunan bakat halal, mewujudkan pengiktirafan profesional halal, mempercepat pembangunan industri halal bagi mempertingkat daya saing, meningkatkan daya saing produk halal dan menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global,” jelasnya.

Idris juga menjelaskan, Majlis Profesional Halal (HPB) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan disusun semula berdasarkan hala tuju baharu yang akan dibangunkan bagi memperluas pengiktirafan pengamal profesional halal di pasaran global.

“Industri halal akan terus dibangunkan dengan memanfaatkan kekuatan industri tempatan termasuk meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan industri halal dengan mewujudkan kumpulan bakat yang lebih besar, menambah baik infrastruktur yang bersepadu serta mempercepat pengeluaran produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, JAKIM mempunyai Pusat Analisis Makmal Halal Malaysia atau lebih dikenali dengan MyHAC yang telah dibina bagi menyediakan perkhidmatan analisis dan penyelidikan saintifik bagi pengesahan dan pengesanan halal.

Perkembangan terkini, jelasnya MyHAC baru sahaja menjalani Audit Pematuhan Sistem Pengurusan Kualiti Makmal MS ISO IEC 17025: 2017 oleh Jabatan Standard Malaysia bagi memastikan pematuhan terhadap standard ISO dan keperluan Skim Akreditasi Makmal Malaysia.

Katanya lagi, bagi membantu PMKS dalam meningkatkan kualiti produk serta kebolehpasaran produk yang lebih luas, JAKIM telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) sebagai satu inisiatif kepada pihak industri khususnya pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Tambahnya, inisiatif yang diperkenalkan melalui MHMS ini adalah bagi menjami keyakinan pengguna mahupun pihak industri terhadap kualiti dan integriti produk halal Malaysia, bukan sahaja di dalam malah di peringkat antarabangsa.

Beliau menjelaskan, Majlis Halal Malaysia (MHM) telah pun dijenamakan dengan nama baru iaitu Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Penjenamaan ini adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 18 September 2019. MPIH berperanan dalam merancang dan merangka pelan pembangunan industri halal,” ujarnya.

Beliau juga berkata, industri halal di Sabah dan Sarawak juga akan diperkukuh bagi memanfaatkan ketersediaan sumber dan peningkatan permintaan global kepada produk halal.

Katanya, keupayaan dan kualiti pengeluaran akan ditingkatkan serta akses ke pasaran antarabangsa akan ditambah baik.

“Taman Industri Halal sedia ada termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu di Sabah dan Hab Halal Tanjung Manis di Sarawak akan dinaik taraf melalui pendekatan yang holistic,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -