Tun M & Muhyiddin dari kaca mata Wan Saiful

“Nama saya Wan Saiful Wan Jan, berusia 46 tahun dan dari segi penglibatan politik, saya sebenarnya berasal dari acuan PAS.” 

Begitu awal bicara Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Wan Saiful Wan Jan ketika ditemubual kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, SYAHIRAH SALLEH dan KAIROL ZULHAIDI serta jurugambar/video, MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE di pejabatnya di Megan Avenue, Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut menggalas jawatan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak tahun 2018, anak kelahiran Alor Setar ini memberitahu, beliau telah melibatkan diri dengan PAS sebaik sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1992. 

“Saya mula kenal dengan pergerakan PAS semasa di bangku sekolah, melalui usrah. Kebetulan saya presiden badan agama di sekolah. Jadi, dari situlah mula kenal dengan PAS.

“Sebaik sahaja selepas SPM, saya dapat tawaran untuk sambung belajar di United Kingdom (UK). Di sana, saya bergerak dengan tanzim PAS,” ujarnya. 

Advertisement

Penglibatan beliau dalam PAS bermula daripada peringkat biasa semasa di UK, sehinggalah dalam organisasi mahasiswa juga di UK, antaranya diberi kepercayaan sebagai Ketua Lajnah Tarbiyah, Setiausaha Agung, Presiden dan jawatan terakhir sebagai Pengerusi Majlis Syura.

“Kemudian, apabila saya pulang ke Malaysia selepas tamat belajar di UK,  saya kurang aktif dalam parti, sehinggalah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, yang mana saya buat keputusan untuk melibatkan diri dalam pergerakan politik.

“Sebab itu, memang cita-cita saya untuk melihat dan melakukan perubahan dalam negara dan yang dicadangkan adalah untuk saya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itu sejarah penglibatan saya dalam pergerakan politik negara,” tutur beliau.

Menurutnya, ketika PRU14, beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Pendang, Kedah namun kini beliau merupakan wakil Bersatu di bahagian Kubang Pasu, Kedah.

Menafikan daripada keturunan Kelantan, menurut beliau pangkal nama ‘Wan’ yang dimiliki dirinya itu adalah merupakan susur galur dari sejarah keluarganya yang berasal dari Songkhla di Thailand,  Langkawi, Kedah dan Perlis. Dalam temu bual eksklusif bersama Harakahdaily ini, Wan Saiful mendedahkan pelbagai cerita menarik di sebalik kewujudan Bersatu dan kaitan parti yang baru berusia sekitar lima tahun itu dengan parti Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mengupas tentang perbandingan era Bersatu ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Dan yang  paling menarik ialah tentang ‘misteri’ di sebalik kenapa Tun Dr Mahathir tiba-tiba berubah fikiran enggan meneruskan perjuangan sebagai Perdana Menteri yang dikekalkan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan hasil idea beliau, semasa berlaku isu pertukaran kerajaan daripada parti Pakatan Harapan (PH) pada awal tahun 2020. Ikuti sedutan temu bual bersama Wan Saiful Wan Jan.

Apakah persediaan Bersatu dalam menghadapi PRU15?

Saya rasa PRU15 kelak akan menjadi medan pilihan raya yang sangat sengit, kerana inilah kali pertama berlaku situasi yang mana semua orang tahu kenyataan bahawa tidak ada mana-mana gabungan atau parti yang boleh menang sekiranya bergerak secara bersendirian. 

Merujuk kepada lipatan sejarah pilihan raya di Malaysia, kita sudah biasa dengan single dominant party atau parti dominan tunggal seperti Barisan Nasional (BN).

Itu adalah suasana yang ada dalam negara kita sejak daripada era kemerdekaan. Namun, PRU14 telah mengubah segalanya dengan menjadi pencetus perubahan kepada senario baharu pilihan raya, yang mana berlaku perubahan dalam tampuk pemerintahan kerajaan dan senario berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia.

Kemudian berlaku perpecahan dalam kerajaan. Parti yang menang PRU14 ialah parti yang bergabung iaitu Pakatan Harapan (PH) hasil gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bersatu, yang berjaya memecahkan monopoli BN selama 60 tahun apabila memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14. PH memenangi 104 kerusi Parlimen manakala DAP meraih sembilan kerusi di Sabah dan Sarawak.

Justeru, hakikatnya saya rasa sekarang ini (merujuk kepada keputusan  PRU14) agar sukar bagi mana-mana gabungan atau parti untuk menang dalam PRU15 jika bergerak secara bersendirian. Di Malaysia kini ada tiga gabungan (parti) yang besar iaitu PN, PH dan BN. 

PN merupakan gabungan lima parti iaitu Bersatu (yang mengumumkan keluar dari PH pada Februari, 2020), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Jangan lupa, ada satu lagi gabungan (parti) yang lebih kurang sama besar  dengan PN, PH dan BN iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) hasil gabungan Parti Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). 

Wan Saiful melihat PRU15 kelak sebagai medan pilihan raya yang sangat sengit pernah muncul di Malaysia.

Saya rasa PRU15 kelak merupakan medan ujian terhadap sejauh mana  (keempat-empat) gabungan (parti)  berkenaan boleh mengenepikan kepentingan peribadi dan individu parti masing-masing. 

Perkara ini adalah untuk memastikan bahawa gabungan (parti) yang menang kelak boleh mewujudkan kerajaan yang stabil selepas PRU15. Justeru bagi Bersatu, kita ambil sikap bahawa apa yang perlu diutamakan ialah agenda penyatuan antara parti-parti politik Melayu.

Kesatuan yang diusahakan Bersatu sekarang ini dengan sokongan daripada PAS, Gerakan, Star dan SAPP adalah dalam gabungan yang diberi nama Perikatan Nasional (PN) ini merupakan  satu kerjasama yang penting bagi  kita dalam menghadapi PRU15 kelak.

Jadi, apa yang kita lakukan sekarang ini adalah memperkukuhkan PN, di samping memperkukuhkan juga jentera-jentera parti di peringkat akar umbi, serta menjalani pelbagai latihan dan kursus bagi memastikan proses perkaderan jentera-jentera parti berjalan lancar.

Kita juga sedang mengusahakan agar sebanyak mungkin aktiviti yang dijalankan (dalam menghadapi PRU15) adalah atas nama PN, bukan atas nama individu atau parti masing-masing (dalam gabungan).

Boleh Dato’ kongsikan mengenai latar belakang kewujudan Bersatu. Bagaimana ia menjadi pecahan daripada Umno dan kaitannya dengan isu 1MDB?

Bersatu merupakan sebuah parti yang wujud hasil daripada kesedaran bahawa kita perlu berjuang untuk mengembalikan landasan negara kita kepada landasan yang berintegriti, yang tadbir urusnya baik dan sihat serta memerangi rasuah.Inilah satu agenda yang berterusan buat Bersatu. 

Parti ini ditubuhkan pada tahun 2016, kira-kira lima tahun yang lalu, Pada masa itu, mereka yang menubuhkan Bersatu itu merupakan tokoh-tokoh politik ternama terdiri daripada bekas-bekas pemimpin Umno.

Dan kita tak boleh lupa pada masa itu, iaitu isu yang paling panas ialah isu 1MDB. Ia berkait dengan banyak isu lain termasuk syarikat di bawahnya iaitu SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) yang merupakan isu salah salah guna kuasa.

Kita jangan lupakan isu-isu yang dibangkitkan golongan personaliti  tertentu yang memimpin negara pada masa itu dan isteri mereka, yang dikatakan, dituduh oleh ramai pihak, banyak melakukan penyelewengan.

Jadi ada satu kumpulan dalam Umno, yang menyedari bahawa itu semua perlu dihentikan. Mereka cuba buat perubahan dalam Umno, tetapi ia tidak berjaya.

Dan apabila ia tidak berjaya, mereka mengambil keputusan untuk tanggung risiko kehilangan jawatan, kehilangan kedudukan untuk keluar dan berjuang untuk mewujudkan satu parti yang lain.

Muhyiddin, Tun Dr Mahathir dan Mukhriz merupakan tiga nama utama di sebalik penubuhan parti Bersatu.

Jadi pada masa itu, ketika penubuhan pada peringkat awal, berlaku perbincangan untuk tubuhkan parti yang berbilang bangsa ataupun mahu wujudkan parti yang terasnya masih lagi Bumiputera Islam.

Maka, lahirlah parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu yang dipimpin pada masa itu oleh Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Dato Seri Mukhriz Mahathir. 

Idea dan usaha di sebalik penubuhan Bersatu adalah oleh Muhyiddin  tetapi turut dijemput ialah Tun Dr Mahathir dan juga Mukhriz untuk bersama-sama menubuhkan, tetapi idea, namanya dan usaha-usaha pendaftaran datang daripada Muhyiddin.

Begitulah susur galur sejarahnya, yang kemudian menyaksikan Bersatu menyertai PH, dan pada masa itu gelombangnya adalah gelombang untuk menolak kemungkaran yang berlaku dan kita dapati yang paling besar mencetuskan gelombang itu adalah daripada PH.

Jadi, kita ambil keputusan untuk bersama-sama dengan PH pula, dan sejarah mencatatkan bahawa betapa strategi itu betul, yang mana kita berjaya membawa perubahan dan peranan Bersatu adalah membawa undi-undi daripada masyarakat Melayu Islam, kepada gabungan PH. Jadi, tanggungjawab kita adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu Islam dalam kerajaan PH itu.

Namun apa yang berlaku kemudiannya apabila PH memerintah Malaysia, kita melihat betapa agenda yang kita perjuangkan tidak dapat dilaksanakan dengan mudah disebabkan pemikiran yang berbeza.

Dan kita kena ingat bahawa dalam PH ada dua parti besar yang aliran fikrahnya datang daripada aliran kiri iaitu DAP dan PKR. Perlembagaan DAP jelas sekali menjadikan demokrasi sosialis sebagai ideologinya. Apa yang penting, DAP adalah sebuah parti aliran kiri atau lebih tepat, kiri pertengahan.

Begitu juga PKR, merupakan sebuah parti yang muncul dari arus reformasi, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang digabungkan dengan Parti Gerakan Rakyat (PRM). 

PRM merupakan parti gerakan bebas berhaluan kiri, yang lebih kiri daripada DAP, yang apabila bergabung dengan Keadilan untuk  membentuk PKR menyebabkan PKR juga adalah pemikiran yang datangnya daripada aliran kiri.

Jadi, apabila DAP dan PKR berada dalam aliran kiri, sedangkan Bersatu dan banyak parti-parti lain dalam sejarah penubuhan negara kita juga adalah sejarah yang datang daripada aliran pertengahan kanan.

Jadi berlaku pertembungan, bukan sahaja dari segi keutamaan tetapi juga dari segi ideologi. Maka, kita mengambil keputusan dalam Bersatu, kita kena utamakan agenda untuk menjaga kepentingan Melayu Islam bumiputra dan memastikan bahawa negara kita berada di landasan pemikiran politik yang betul.

Kestabilan politik dalam kalangan parti-parti Melayu sangat penting dalam menjamin keutuhan Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama.

Jadi, kita ambil satu peluang pada masa itu, kita berterima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh PAS untuk memastikan bahawa kita boleh kembalikan kuasa politik negara ini kepada golongan Melayu Islam, dan pastikan (wujud) kestabilan (dalam gabungan parti-parti politik).

Sebab dengan kestabilan politik dalam kalangan parti-parti Melayu Islam ini, maka manfaat dan faedahnya akan dapat dikongsi dengan semua masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Matlamatnya masih lagi untuk semua,sudah tentu untuk masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini. Tetapi untuk pastikan tanggungjawab kita ini dapat dilaksanakan, perlu ada kestabilan dalam kalangan parti-parti politik Melayu Islam terlebih dahulu.

Apa yang lebih penting ialah pertama, kesatuan dalam kalangan parti-parti politik Melayu. Keduanya ialah  kemudiannya kita dapat berkhidmat untuk masyarakat dan kemakmuran bersama dapat dicipta. Begitulah lebih kurang susur galur yang berlaku dalam Bersatu.

Adakah pertembungan turut berlaku dalam Bersatu?

Mula-mula sekali, Bersatu dijemput untuk menyertai penyatuan PAS-Umno melalui Muafakat Nasional (MN), jadi Bersatu dijemput, dan kita berbincang sama ada hendak sertai atau tidak, sebab apabila kita sertai MN, kita sudah ada sedikit perbezaan dengan PH.

Itu yang berlaku, tetapi saya juga tidak pasti kenapa dalam keadaan kita mula mesra dengan PAS, tetapi Umno pula menunjukkan sedikit rasa berat hati untuk meneruskan MN dalam keadaan tiga parti politik Melayu sudah  duduk  (bergabung) bersama-sama dalam PN.

Tapi tak apalah, itu sejarah. Kemudian berlaku perpecahan dalam Bersatu, dan perpecahan ini berlaku sebab kumpulan yang dipimpin Tun Dr Mahathir, berubah fikiran pada saat-saat akhir. Saya rasa, saya perlu sebut bahawa kita menghormati pandangan beliau. Pandangan beliau berbeza tetapi kita ada bincangkan dalam mesyuarat.

Dari segi sejarah, usai PRU14 pada Mei 2018, Tun Dr Mahathir sudah mengarahkan pada seawal Mac, 2019 lagi supaya kita usahakan untuk menyatukan parti politik Melayu dalam satu wadah, satu platform.

Tak sampai setahun PRU14, ketika itu kita sudah bdrbincang dan bersetuju  bahawa kita kena mulakan perbincangan kita dengan Umno dan dengan PAS, itu yang membawa MN dan sebagainya selepas itu.

Menjelang Julai 2019, Tun Dr Mahathir tanya kembali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi kenapa  terlalu perlahan proses untuk menyatukan parti-parti Melayu, dan itu membawa kepada penglibatan beberapa tokoh seperti Dato’ Seri Hamzah Zainuddin untuk menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Wan Saiful menegaskan usaha penyatuan parti-parti politik Melayu di negara ini telah dimulakan ketika Tun Dr Mahathir menjadi Pengerusi Bersatu.

Tun Dr Mahathir sendiri memberi ucaptama dalam Kongres Maruah Melayu,  antara yang hadir termasuklah  pemimpin PAS dan Umno, dan ia menunjukkan kita boleh duduk bersama. Walaupun dalam kerajaan, kita berbeza, tetapi demi agenda Melayu Islam, kita boleh sama-sama bergabung untuk utamakan agenda agama dan bangsa ini.

Jadi, usaha untuk menyatukan parti-parti politik Melayu ini dimulakan pada era Tun Dr Mahathir menjadi Pengerusi Bersatu.

Dan kita teruskan. Pada 20 Februari 2020, ketika berlaku pertukaran kerajaan, adalah tarikh yang dipersetujui secara konsensus bersama dalam Bersatu. Itulah tarikhnya, kalau tidak macam mana semua orang boleh kumpul dalam satu hotel untuk bermesyuarat. Maksudnya, notis untuk mesyuarat tersebut dari awal lagi sudah dikeluarkan.

Tetapi pada pagi tersebut, tiba-tiba Tun Dr Mahathir berubah fikiran, sehingga kita adakan mesyuarat khas untuk bincangkan dalam majlis pimpinan tertinggi Bersatu. Dan kita ambil pandangan bahawa untuk membuat undian sama ada hendak teruskan atau tidak, dalam perbincangan tersebut, Tun Dr Mahathir dan kita semua masing-masing berhujah.

Selepas kita mendengar hujah secara adil dari semua pihak, kita adakan undian, mahu teruskan atau tidak teruskan. Majoriti 85 hingga 90 peratus, maka kita bersetuju untuk kita teruskan.

Dalam pelan sebenar pertukaran kerajaan pada masa itu adalah untuk mengekalkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Justeru,  dengan Tun Dr Mahathir kekal Perdana Menteri, kita cuma rombak semula kabinet agar pemimpin-pemimpin dari Umno dan Pas dibawa masuk ke dalam kerajaan.

Ia adalah rombakan kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang sama. Tetapi Dr Mahathir tiba-tiba berubah fikiran pada hari kejadian. Itulah yang menyebabkan berlaku pertelagahan dalam Bersatu.

Dan saya sehingga hari ini, melihat ia sebagai suatu misteri, kenapa Dr Mahathir tiba-tiba berubah fikiran, sedangkan semua ini (pertukaran kerajaan) merupakan idea beliau. Surat akuan sumpah yang ditandatangani adalah untuk menyokong beliau, tetapi bagaimanapun sudah ditakdirkan untuk berlaku. Maka, berlakulah pertukaran.

Namun kesan kepada Bersatu adalah mahal. Itu harga yang kita bayar, untuk kembalikan kedudukan parti-parti politik Melayu Islam dalam pentadbiran negara.

Saya rasa, kita banyak berkorban, apabila individu seperti Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir sanggup meninggalkan keselesaan mereka untuk keluar daripada parti asal, Umno, melawan kemungkaran yang dilakukan oleh Umno pada masa itu, dan kemudian membentuk sebuah parti baharu. Itu pengorbanan pertama.

Pengorbanan kedua ialah, bersetuju untuk mengembalikan semula kedudukan martabat Melayu Islam dalam negara, keluar daripada kerajaan PH.

Itu adalah pengorbanan utama yang dilakukan oleh individu seperti Muhyiddin. Kemudiannya, baru-baru ini pula, sanggup melepaskan jawatan Perdana Menteri, semata-mata sebab mahu pastikan kedudukan kuasa politik Melayu Islam ini boleh kekal.

Sebab kalau sekiranya Muhyiddin bertegas, katalah beliau pentingkan diri sendiri, apa-apa jadi pun masih kekal jadi Perdana Menteri, silap-silap hari ini PH yang akan mengambil alih semula (tampuk pemerintahan kerajaan) Putrajaya.

Namun, pengorbanan yang beliau lakukan sebagai Pengerusi PN ialah beliau tidak menjadi Perdana Menteri pun tidak apa, yang penting PN duduk sebagai komponen paling besar dalam kerajaan.

Kita kena ingat, dalam PN sekarang kita ada lebih 50 Ahli Parlimen. Kita adalah gabungan paling besar sebagai satu gabungan rasmi. Dicampur dengan GPS di Sarawak, menyebabkan kita ada lebih 70 Ahli Parlimen dalam kerajaan sekarang ini.

Ini pengorbanan yang dilakukan oleh Muhyiddin untuk memastikan bahawa kuasa politik Melayu kekal. Biarlah ada orang mengkhianati beliau, tak apa. Ada 15 orang yang keluar daripada kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan sendiri. Tak apa, itu tolak ke tepi, yang penting kuasa politik Melayu Islam kekal.

Ini pengorbanan yang beliau lakukan walaupun menyebabkan perbezaan pandangan dalam Bersatu. Itu harga yang mahal kita bayar untuk kembalikan kuasa politik Melayu Islam dalam negara.

Boleh Dato’ kongsikan perbezaan era Bersatu semasa di bawah Dr Mahathir berbanding di bawah Muhyiddin.

Kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tun Dr Mahathir sangat fokus tentang apa yang ingin beliau lakukan.

Jadi, beliau ada agenda tersendiri dalam fikiran beliau untuk untuk dikongsi dengan semua, dan sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau akan ditolak ke tepi. 

Tun Dr Mahathir sangat strict forward. Namun, di bawah pentadbiran beliau, ada kekangan dalam perkara-perkara yang mahu dilaksanakan. Dan kekangan yang paling besar adalah kerjasama yang diperolehi daripada DAP dan PKR adalah amat rendah, dan ini menyebabkan ia sukar untuk dilakukan.

Muhyiddin pula karakternya lebih konsensus. Beliau lebih banyak bermesyuarat. Ada komitmen yang tinggi kepada semangat mahu perjuangkan agama dan bangsa.

Dan beliau adalah seorang individu yang melihat agenda perjuangan (parti) adalah sesuatu yang lebih penting berbanding kedudukan beliau. Apa yang akan berlaku kepada beliau adalah perkara kedua, kerana perkara pertama yang menjadi keutamaan ialah agenda perjuangan.

Jadi agenda ini adalah demi agama dan bangsa,itu yang paling diutamakan. Jadi, saya rasa apabila kita tengok dua tokoh politik ini, kita perlu terima hakikat bahawa ada perbezaan nyata antara kedua-duanya.

Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir menurut Wan Saiful, memiliki karakter dan kebolehan yang berbeza dalam melaksanakan agenda parti ketika diberi tanggungjawab mengepalai Bersatu.

Cara Muhyiddin lebih konsensus, lebih banyak berbincang. Senang menerima idea dan lebih accessible untuk kita timbulkan cadangan-cadangan kita.

Tun Dr Mahathir mungkin datang dengan sejarah yang panjang dalam pentadbiran negara, jadi kalau mahu berbincang dengan beliau tidak boleh melalui telefon. Namun dengan Muhyiddin, boleh bertukar-tukar WhatsApp, tiada  masalah untuk kita berhubung dengan beliau.

Jadi, karakter kedua-duanya berbeza. Dan  kebolehan untuk melaksanakan agenda parti pun berbeza. Ketika era Tun Dr Mahathir, agenda yang hendak dibawa tak boleh hendak dilaksanakan.

Semasa era Muhyiddin pula,  kita dapat lihat sekarang dalam RMK12, banyak agenda-agenda yang positif untuk agama dan bangsa yang dimasukkan.

Apabila kita menghadapi pandemik Covid-19 misalnya, apabila kita tengok zaman PH dulu, semua bantuan hendak dipotong. Bersyukurlah dapat RM30. Ini yang diuar-uarkan  pada zaman PH, 

Tetapi  pada era Muhyiddin, RM530 billion disalurkan untuk bantu rakyat. Sebab inilah yang rakyat perlukan, jadi memang ada perbezaan. Namun, kekurangan juga wujud disebabkan kekangan yang ada dalam pentadbiran kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Seperti yang kita tahu, Bersatu sudah melangkah usia lima tahun. Justeru, sejauh mana perkembangan Bersatu sekarang? Berapa banyak keahlian Bersatu dan cawangan sekarang? Dan apakah sasaran Bersatu untuk memperluaskan pengaruh parti ini ke Sabah dan seluruh negara pada masa akan datang?  

Bersatu masih merupakan sebuah parti baharu. Sekarang ini, dalam kiraan yang terakhir kita ada lebih 560,000 ahli. Dengan keahlian dan dalam lima tahun  ini kita telah mencapai angka tersebut, saya rasa ini adalah satu perkara yang positif dan  perkembangan yang baik.

Bilangan cawangan kita semakin bertambah. Begitu juga bilangan di semua bahagian-bahagian di Semenanjung dan di Sabah, kita ada bahagian-bahagian kita. Di Sarawak, suasana berbeza. Tetapi kita ada juga bahagian-bahagian kita di Sarawak.

Dari segi perkembangan parti, ia berkembang dengan baik. Cuma kebimbangan saya ialah ada beberapa individu lain, tokoh-tokoh politik, orang orang lama dalam politik yang ada banyak sejarah dan rekod-rekod tak baik,  ini yang menyebabkan saya rasa tidak selesa dalam  kalangan rakyat terhadap parti politik  secara keseluruhan.

Ini satu benda yang bagi saya,  agak membimbangkan sebab ada 10 hingga 15 individu yang membuat onar, mereka inilah yang bawa masalah, maka habis semua parti politik terpalit dengan bebanan yang mereka cipta.

Mungkin mereka ada kepentingan peribadi, mungkin juga ada cita-cita yang tinggi untuk pegang kuasa. Namun, benda-benda tak elok yang dilakukan golongan inilah yang menyebabkan kita semua terpalit. 

Saya rasa ini suatu perkara yang membimbangkan. Walaupun Bersatu sedang berkembang, tetapi saya bimbang sekiranya pandangan rakyat terhadap parti politik secara keseluruhan, bukan Bersatu sahaja, adalah pandangan yang semakin lama, semakin skeptikal. – HARAKAHDAILY 7/10/2021